Blogger Layouts

Search This Blog

Followers

Saturday, 5 May 2012

CERPEN: 'Hanya Kerana Tahi Lalat' by Hafimi Huzin





        “Ni lah jantan bodoh yang tolak tuah tu. Aku sendiri tak faham kenapa dia tak jadi nak rogol aku malam tu. Perempuan kampung tu jugak yang jadi mangsa nafsu serakah dia. Padahal jantan-jantan lain kalau tengok aku sampai macam nak tersembul biji mata diorang tau! Ishhh... Pelik betul aku!” Rinsya yang tegak berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh, dengan wajah angkuhnya selamba saja dia melemparkan akhbar di tangannya ke atas meja rakan setugasnya, Firah Annur... yang lebih mesra dengan nama Fyra.
         Sewaktu sahabatnya Fyra sedang tekun meneliti artikel yang tersiar pada muka hadapan tersebut, Rinsya pula menanti sambil bermain-main dengan rambut ikalnya yang keperangan itu. Rahangnya kelihatan bergoyang-goyang mengunyah gula-gula getah di dalam mulut.
       Berkerut-kerut dahi Fyra sewaktu menghadam berita tersebut. Bukannya dia terkejut meskipun kemarahannya akan sentiasa meluap-luap setiap kali dihidangkan dengan berita sebegitu. Bayangkanlah... sudah lebih 5 tahun dia bergelumang dengan dunia kewartawanan. Berita-berita sebegini terutamanya yang berkaitan dengan kes rogol seperti sudah basi untuk membuatkan dia terkejut. Dia sudah muak dengan berita-berita sebegini. Namun, perasaan simpati dan kasihan itu masih wujud, masih sama seperti sebelum dia bergelar wartawan lagi.
      Cuma.... seperti Rinsya, dia juga hairan sebenarnya. Walaupun dakwaan Rinsya sekejap tadi kedengaran begitu angkuh, namun dia sendiri sebenarnya turut berkongsi perasaan yang sama dengan sahabatnya itu.
           Aneh sungguh... Kalau diperhatikan, perempuan yang menjadi mangsa rogol kepada suspek tersebut tidaklah cantik rupa parasnya. Bertudung dan menutup aurat pulak tu! Mukanya pula agak penuh dengan jerawat. Sekadar sedap mata memandang jika dibandingkan dengan Rinsya yang begitu sempurna sekali rupa parasnya. Bertubuh tinggi lampai persis seorang model. Kulitnya pula cerah bak putih telur. Mata bundarnya yang kelihatan bersinar-sinar itu sahaja sudah cukup untuk menggoyahkan keimanan mana-mana lelaki. Itu belum lagi kalau dipandang bibir merah basahnya yang terbentuk cantik itu.
       Fyra mendongakkan kepalanya memandang Rinsya. Dia sudah tidak berminat lagi untuk menatap akhbar di atas mejanya itu. Dia hanya mahukan penjelasan daripada Rinsya. Dia betul-betul nak tahu... mengapa tidak Rinsya yang menjadi mangsa? Mengapa si tertuduh menolak Rinsya daripada menjadi ‘lauk’nya dan memilih perempuan bertudung yang bernama Syamila, yang tidak cantk rupa parasnya itu? Apa sebenarnya niat si perogol?
               

IMBAS KEMBALI...
                
MALAM itu, seperti yang diamanahkan, Rinsya ditugaskan untuk mendapatkan maklumat berkaitan artikel yang sedang dikumpulnya. Dia sepatutnya ke kawasan banglo tinggal itu bersama-sama dengan Fyra. Namun memandangkan Fyra ketika itu masih berada di kampung atas ‘cuti pelepasan’ neneknya yang baru meninggal dunia, jadi terpaksalah dia melakukannya seorang diri.
          Gadis kacukan Inggeris sorang ni memang berani! Atas faktor itulah dia tidak memilih untuk menjadi model mahupun pramugara meskipun peluang dalam kerjaya itu lah yang paling banyak ditawarkan kepadanya.
        Cukup dengan kamera SLR yang digantung pada lehernya, Rinsya melakukan tugasannya dengan begitu sempurna sekali. Hanya 15 minit diperlukan. Siap! Dia bersedia untuk pulang ke rumah.
         Darah kering betullah perempuan ni! Sewaktu dia shoot beberapa keping gambar tadi pun, dahinya langsung tidak berkerut. Wajahnya juga tidak membayangkan rasa cemas dan takut. Buktinya, setitis peluh pun tidak tumpah dari atas dahinya. Sedangkan kalau diperhatikan kawasan banglo tersebut, sesiapa sahaja akan tegak berdiri bulu romanya. Halamannya sahaja penuh bertaburan daun-daun kering. Belum dilihat keadaan bangunan itu sendiri yang mana sebahagian besarnya telah ‘lumpuh’ dimamah lumut. Bahagian tingkap pula sudah tertutup dengan tumbuhan-tumbuhan hijau yang akarnya tertanam entah dari mana. Sesekali turut kedengaran bunyi yang pelik-pelik. Menyeramkan sungguh!
         Lebih menyeramkan lagi apabila dia terpaksa melalui satu lorong sempit untuk mendapatkan keretanya yang hanya dapat diparkir agak jauh juga dari banglo misteri tersebut. Lebih mengagumkan, Rinsya masih menayang riak selamba pada wajahnya. Langkahnya juga dihayun selamba mengikut gerak-tubuhnya. Tidak pula dia kelihatan seperti berjaga-jaga dalam setiap langkahnya. Bahkan, dalam keadaan gelap begitu, sempat pula dia membelek-belek gambar yang berjaya ditangkapnya tadi menerusi skrin kamera yang berada di dalam genggamannya.              
      Dalam keadaan dia sedang ralit itulah tangannya direntap tiba-tiba sehingga terlepas kamera dari tangannya. Berderau darahnya apabila sebaik sahaja dia menoleh, dia terus terpandangkan sepasang mata yang sedang mencerlung ganas wajahnya seperti ingin disiat-siat. Beberapa kesan luka seperti bekas torehan pada wajah bengis itu benar-benar menakutkannya. Begitu juga dengan jambang lebatnya yang langsung tidak terurus itu. Gigi yang digerit kuat hingga menggeletar rahangnya, membayangkan lagi betapa ganasnya lelaki itu...


*******************

               
                “KAU tahu Fyra... Dia cengkam leher aku ni kuat sangat sampaikan aku langsung tak boleh nak bernafas waktu tu. Tapi yang buat aku pelik sampai sekarang ni... masa dia cengkam leher aku, dan bila dia ternampakkan aje tahi lalat kat leher aku ni, dia terus lepaskan aku. Dia seperti takutkan sesuatu. Dia pandang aku macam pandang hantu. Hurmm... Aku rasa dia tu ada masalah mental la, Fyra.” Rinsya mengusap-usap tubuhnya. Seram sejuk dibuatnya bila diingat kembali bagaimana si perogol tersebut cuba menggomol lehernya. Anehnya, niat lelaki tersebut merogolnya terus terbatal sebaik sahaja terpandangkan tahi lalat pada pangkal lehernya yang sentiasa dan sengaja dibiarkan terdedah itu. Lelaki itu terus menolaknya jauh-jauh seolah-olah dirinya waktu itu adalah seekor ular berbisa. Tak pun mungkin perogol tu tengok aku ni ada rupa Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal Malam tak? Tu yang dia takut tu agaknya. Padahal dia tak tahu... aku ni memang ada iras-iras Maya Karin pun! Sempat pula Rinsya memain-mainkan perkara yang sepatutnya dianggap serius itu. Perempuan ni memang selamba habis. Semua benda dia anggap mainan!
                “Lepas lelaki tu lepaskan kau? Kau buat apa?” Ada baur curiga dalam getar suara Fyra. Namun, sedaya upaya dia cuba menyembunyikan rasa curiga itu pada riak wajahnya. Takkanlah lelaki tu boleh terbatal niatnya sedangkan peluang sudah ada di depan mata?
                “Lepas tu aku lari la...” Acuh tak acuh saja Rinsya menjawab.
                 Fyra ternyata tidak berpuas hati dengan jawapan yang dikira tidak kukuh dan konkrit itu.
                “Habis tu... macam mana kau boleh tahu lelaki tu dah rogol arwah Syamila, budak perempuan kat surat khabar ni?” Fyra mengangkat akhbar dari atas mejanya seraya dia membuai-buaikannya di hadapan Rinsya. Keningnya ikut terjongket-jongket. Suaranya sengaja ditekan dan ditinggikan sedikit. Seperti sengaja ingin menakut-nakutkan sahabatnya itu.
         Rinsya memasang wajah kelat. “Kau ni macam tak yakin aje dengan aku.” Kemudian dia menghempaskan sebuah keluhan.
              “Lepas aku larikan diri, kebetulan waktu tu aku ternampak arwah Syamila sedang tergesa-gesa berlari dalam lorong yang sama. Dia macam takutkan sesuatu. Tapi aku langsung tak tahu apa yang dia takutkan. Sehinggalah lelaki bangsat tu rentap tangan arwah Syamila. Dia cekik leher arwah, dia tekup mulut arwah sampai arwah tak dapat nak bernafas. Kemudian, dia bawa arwah jauh ke dalam semak... Waktu tu... Waktu tu, aku dah tak nampak apa-apa lagi dah, Fyra. Aku terus cabut dapatkan kereta aku. Aku call polis tapi malangnya... semuanya dah terlambat, Fyra...” Kedengaran sesak dada Rinsya sewaktu dia menerangkannya. Cemas wajahnya bila mengingatkan peristiwa ngeri itu.
                “Cuma aku yakin, ada hikmahnya semua ni, Fyra. Mungkin kau pun boleh jadikan pengajaran.”
          Fyra yang masih tertunduk bingung, lekas mendongakkan kepalanya. Bulat matanya menagih penjelasan dari sahabatnya itu. Pengajaran apa yang dimaksudkan oleh Rinsya?
               Rinsya yang faham maksud kerutan pada dahi Fyra sekadar tersenyum tawar. Di dalam hati, dia mengejek sebenarnya.
             “Pengajaran yang aku maksudkan, lepas ni kau tak bolehlah nak judge aku sesuka hati macam sebelum ni. Sekarang dah terbukti kan. Jantan-jantan sekarang ni dah tak kira perempuan bertudung ke, perempuan seksi ke, hodoh cantik semua belakang kira. Semua diorang bedal! Silap-silap pondan pun diorang lenjan sekali!”
                Puas hati Rinsya. Selama ni, Fyra memang tak sudah-sudah mengingatkan dia tentang batas-batas aurat yang perlu dijaganya. Nak termuntah bila hampir setiap hari dia disumbatkan dengan nasihat yang hampir serupa. Sekarang, tengoklah apa yang dah jadi? Arwah Syamila yang bertudung, yang muka hodoh tu jugak yang kena rogol, yang kena bunuh hidup-hidup! Aku yang seksi ni, yang orang selalu kutuk-kutuk macam lah diorang bagus sangat... Tak ada pula aku mati kena rogol! Hidup kat dunia ni, hati kena baik. Itu yang penting. Arwah Syamila tu mesti hati dia busuk. Tu yang mati dalam keadaan memalukan tu!
              Amboi... sesedap mulut dia aja mengata arwah Syamila tu berhati busuk. Yang dia bersangka buruk pada orang yang dah meninggal dunia tu, baik sangatlah tu?
                 Fyra sedari tadi hanya mendiamkan diri. Menggeleng tidak. Mengangguk pun tidak. Dia kelihatan semakin bingung. Semakin dia cuba mencari jawapannya, semakin berselirat pula persoalan-persoalan yang bermain di benaknya.
            ‘Apa sebenarnya niat perogol tu? Kenapa tidak Rinsya yang menjadi mangsanya? Kenapa si perogol memilih arwah Syamila sebagai ‘lauk’nya?
              Arwah Syamila pula... Apakah arwah sedang cuba melarikan diri dari seseorang waktu tu? Macam mana dia boleh berada di kawasan lorong sempit tersebut lewat malam begitu? Dan mengapa arwah seperti tergesa-gesa melarikan dirinya dari sesuatu sehinggakan akhirnya dia terpaksa menjadi mangsa kepada perogol tersebut? Takkanlah semua itu hanya satu kebetulan? Mesti ada hubungkaitnya dengan Rinsya!



********************
               
                

           PETANG itu, Rinsya sekali lagi dipanggil pihak polis untuk disoalsiasat. Fyra bertegas ingin ikut sama. Sebolehnya, dia ingin mendapatkan segala jawapan bagi menjawab kecelaruan yang mengasak fikirannya. Biarlah tak ada satu persoalan pun yang tertinggal!
          Atas ‘tiket’ dan pas kewartawanan, mereka berdua berjaya ‘memujuk’ untuk bersemuka dengan perogol dan pembunuh arwah Syamila itu.
          Memandangkan Rinsya seperti tidak berminat, Fyra yang tidak mahu membuang masa terus mengajukan soalan. Itupun setelah dia beberapa kali menelan air liurnya. Cuak juga bertentang mata dengan lelaki berwajah bengis di hadapannya ini walaupun mereka telah dipisahkan oleh satu kepingan jernih yang diletakkan di tengah-tengah sebagai pemisah.
          “Errrr... Ermm... Boleh saya... Boleh saya tahu kenapa malam tu cik tak rogol kawan saya ni?” Begitu berhati-hati sekali dia menyusun ayat walaupun soalan yang diajukannya itu kedengaran seperti tidak relevan.
           Lelaki di hadapannya itu perlahan-lahan mengangkat kepalanya. Sebagaimana yang pernah dirasakan oleh Rinsya pada malam itu, begitu jugalah yang dirasakan oleh Fyra saat ini. Berderau darahnya sebaik terpandangkan wajah bengis yang terdapat kesan luka dan torehan itu. Lebih menyeramkan tentulah matanya yang mencerlung ganas itu. Dan yang mengejutkan, tentulah jawapan yang keluar dari bibir si perogol tersebut!




*********************
               
               
       
        “AKU tak rogol kawan kau sebab tahi lalat yang ada pada leher dia tu!”
         Fyra terkejut, sehingga terlopong. Maknanya, benarlah seperti yang didakwa oleh Rinsya, sahabatnya!
         “Tapi...tapi...” Dia yang bingung kelihatan terlalu payah untuk meneruskannya. Berkerut-kerut dahinya memikirkan kebernasan lewat pengakuan itu.
          “Kenapa dengan tahi lalat tu?” Atas rasa ingin tahu, dia mendesak jua.
          Lelaki bengis tadi mengeluh. Seperti berat beban yang terpaksa ditanggungnya. Agak lama juga Fyra perlu menanti lelaki itu membuka mulutnya demi membongkarkan segala rahsia dan persoalan yang menyesakkan.
          “Tahi lalat tu telah mengingatkan aku pada arwah emak aku. Kebetulan agaknya... tahi lalat kat leher kawan kau tu tempatnya terletak sama dengan tahi lalat dekat leher arwah mak aku... Waktu tu, aku terus terbayangkan arwah mak aku. Dan sebab itulah... aku terus batalkan niat aku untuk rogol kawan kau ni!”
       Fyra dan Rinsya saling berpandangan. Fyra sekadar tersenyum dan mula memikirkan hikmah di sebaliknya. Sementara Rinsya pula, gadis kacukan ini terlopong mendengarkan pengakuan tersebut. Hampir nak tersembul biji matanya!

               



*********************



              
             “SEKARANG kau dah nampak kan, Rin? Sampai begitu sekali ALLAH menjaga dan melindungi kau walaupun macam yang kau pernah cakap kat aku dulu, kau jarang sekali ikut suruhan dan perintah DIA...   Betapa besarnya nikmat ALLAH... Betapa pengasihnya DIA pada hamba-hambanya sampaikan tanpa kita sedar, dalam sekecil-kecil tahi lalat tu pun, ada nikmat dan hikmah yang begitu besar tersembunyi di sebaliknya. Hanya kerana tahi lalat yang sebesar tahi hidung tu, kau dah terlepas daripada menjadi mangsa rogol. Bukan itu aje, kau juga dah terselamat daripada dibunuh. Ya ALLAH... Besar sungguh kuasaNYA... Begitu sekali ALLAH jaga aurat kau, Rin. DIA telah tanamkan satu permata yang sangat berharga pada leher kau. Mungkin sebab DIA mahu kau menjaga 'pemberianNYA' itu dengan baik. DIA mahu kau lindungi dan hargai permata itu dengan sebaik-baiknya supaya kau tidak sewenang-wenangnya mendedahkannya pada pandangan orang lain, pada mereka yang bukan semuhrim dengan kau...” Fyra memejam matanya rapat-rapat. Walaupun dia tidak menghadapi situasi tersebut namun dia  turut dapat merasakan betapa besarnya rahmat ALLAH ke atas hamba-hambaNYA...
            Rinsya mengangguk lemah. Fikirannya masih menerawang mengingati kecelakaan yang berlaku pada malam yang kalau boleh, langsung tidak ingin diingatinya!
           “Cuma aku terkilan. Kesiannya dekat arwah Syamila tu... Dia bukan aje dirogol, tapi dibunuh! Kau boleh bayangkan tak, Fyra?” Rinsya mengepal penumbuknya sekuat hati. Baru sekarang hatinya dapat merasakan satu keinsafan yang tidak pernah dirasanya selama ini. Sesal dan bengang bergenang-genang dalam lecak wajahnya.
           “Nak buat macam mana Rin... Semuanya dah ditetapkan. Kita yang hidup ni sebolehnya jagalah baik-baik maruah diri kita. Macam arwah Syamila tu...”
              “Kenapa dengan arwah?” Dengan rasa teruja ingin tahu, Rinsya lekas-lekas menyelit.
         Fyra mengeluh. Sebak pula hatinya ingin ‘bercerita’. Cerita sedih yang kalau boleh tidak ingin diingatinya sampai bila-bila.
            “Sewaktu kejadian... arwah sebenarnya sedang melarikan dirinya daripada menjadi mangsa rogol kepada ayahnya sendiri.”
            Berderau darah Rinsya lewat kenyataan itu. Sampai pucat seluruh wajahnya. Dia seperti sudah dapat mengagak keseluruhan cerita yang akan disampaikan oleh sahabatnya itu.
               “Malam tu, ayah arwah baru balik berjudi dalam keadaan mabuk. Walaupun arwah sedar tindakannya melarikan diri hanya akan menamatkan riwayat hidupnya sendiri, arwah tetap nekad demi maruah diri.. juga demi seorang ayah yang akan tetap disayangi. Walaupun seorang yang bergelar ayah itu memiliki niat yang paling buruk buat anaknya... Arwah seperti sanggup dirogol dan dibunuh oleh manusia lain asalkan manusia itu bukanlah ayahnya. Begitu sekali arwah tidak mahu menyeksa ayahnya yang kejam itu dengan segunung dosa.”
          Menggigil hingga seram sejuk tubuh Rinsya mendengarnya. Bibirnya yang menggeletar menghalangnya untuk terus mendesak tanya.
           “Aku tahu semua tu dari paper hari ni.”
       Terketar-ketar tangan Rinsya sewaktu menyambut naskhah akhbar yang dihulurkan oleh rakan setugasnya itu.
           “Perogol tu memang kejam! Jahanam! Bangsaaaaattttt!” Rinsya yang gagal mengawal kemarahan menjerit bagaikan terkena histeria. Sekelip mata surat khabar di tangannya renyuk dan hancur dikerjakannya. Habis segala kertas-kertas, fail-fail yang menimbun di atas mejanya dicampak sesuka hatinya, termasuklah peralatan-peralatan tajam yang agak berbahaya. Rinsya seperti sudah tidak waras!
             Sekelip mata sahaja separuh badannya basah berpeluh-peluh. Mujurlah waktu itu, hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di dalam pejabat memandangkan mereka yang lain sudahpun turun untuk makan tengah hari.
                “Kenapa dengan kau ni, Rinsya? Apa kau dah gila ke?” Dalam takut-takut, Fyra ikut cemas. Dari duduk, dia bangkit cuba meredakan sahabatnya itu.
             “Lelaki tu yang gila!” Rinsya masih berterusan menempelak. Benci sungguh dia pada lelaki yang telah merogol dan membunuh arwah Syamila itu. Lihat saja dari nafasnya yang turun naik dan dadanya yang berombak ganas itu pun sudah boleh diagak betapa hebat sekali dendamnya!
           Fyra terus merentap pergelangan tangan Rinsya yang tergawang-gawang dengan sesekali menghentak dada meja dengan hentakan yang kuat memekakkan telinga.
                “Dia tak gila, Rin. Lelaki tu tak gila. Ya... Dia mungkin dah menzalimi arwah Syamila. Dia telah berlaku kejam dan tak berlaku adil pada arwah. Tapi dia tak gila! Dia lebih waras daripada manusia-manusia kejam yang lain. Sekurang-kurangnya, sewaktu hatinya terlintas untuk lakukan perbuatan terkutuk, fikirannya masih terdetik untuk membayangkan wajah arwah ibunya.   Buktinya... hanya dengan memandang tahi lalat pada leher kau tu, dia terus ketepikan nafsu serakahnya yang membuak-buak ketika itu gara-gara waktu tu dia terkenangkan arwah emaknya... Sedangkan kita? Sedangkan manusia-manusia lain? Setiap kali kita melakukan kesilapan, cuba kita muhasabah diri kita sendiri... Pernah tak akal fikiran kita terdetik atau teringatkan emak atau ayah kita sewaktu kita terbabas melakukan perbuatan terkutuk? Pernah tak? 
           “Jangan kata wajah mak bapak kita, TUHAN kita yang kita selalu abaikan tu pun tak pernah terlintas kat hati kita, dekat fikiran kita!”
           "Dan lelaki yang kau kata kejam itu juga sampai ke hari ini masih ingat dan masih simpan 'kenangan' tahi lalat pada leher arwah ibunya walaupun arwah ibunya sudah hampir 10 tahun pergi meninggalkannya. Itu  tandanya dia selalu memandang wajah ibunya. Memandang yang bukan sekadar pandangan, tapi pandangan yang sarat dengan kasih sayang... Sedangkan kita bukan kata nak ingat tahi lalat, kerut yang menggambarkan penderitaan pada wajah ibu kita pun belum tentu kita akan ingat, belum tentu kita terfikir untuk 'membilang' garis-garis kerut yang melambangkan kesengsaraan ibu kita tu..."
              Rinsya terdiam setelah terpukul dengan kata-kata itu. Dengan matanya yang membulat, tercengang-cengang dia merenung wajah sahabatnya yang sedang menahan marah itu. Akhirnya, dengan kepala yang tertunduk perlahan-lahan, dia menangis teresak-esak bersama ingatan yang hinggap pada ibunya yang telah bertahun jatuh lumpuh... yang sudah berbulan-bulan tidak dijenguknya itu...
               
               


       
*********************





13 comments:

RinsyaRyc said...

nice story ... banyak pengajaran . Antara org tua dan anak , antara kasih syg dan kebinatangan . Tpi yg x bleh belah awat nama tu mcm pernah kenal je kan ? huhuhuhu... TT_____TT

tpi ok la asal si rinsya x mati kena rogol . kalau rinsya tu kau letak jdi syamila , memang malam ni aku nak kerat kau 18 . hek3

Hafimi Huzin said...

hahaha..syamila tu best fwen aku tu..sbb ak syg kau lagi, aku x wat ko kena rogol..haha..thnx sudi baca, siap komen kat sini lagi. ahakz

FIRAHAN-NURNAZRI said...

Assalam mimi :D

Hey cerita yang bagus.aku takpandai sangat dalam penulisan tapi apa yang aku nampak penulisan kau semakin bagus!!!

Alhamdulillah banyakkan menulis lagi tau, jangan putus asa.

Nama macam aku kenal hehehehe.

Yang benar,
Fyra.

Hafimi Huzin said...

apa pulak x pandai..sah2 la kau jauh lagi pandai dr aku sbb tu kau leyh tau ada perubahan ke x..hihi..

AdraAdlina said...

cerita yang menginsafkan :) akak suka.

Hafimi Huzin said...

hehe..thnx kak adra :)

Anonymous said...

cerpen yg bnyk mengandung nasihat.. Antara manusia bersifat binatang nmun msih mengingat akn ibu nya dlm kt lain msih pny akal waras ingt jasa ibu... Rinsya gdis yg seksi wlu pun baik hti nmun pkaian ny d larang dlm agama.. Oleh sbb perogol tu rinsya jd insaf n teringat kat ibu ny yg d tggl kn.. syamila mmg gdis malang... m'pnyai niat baik tdk mw ayh ny berdosa n meringkuk dlm penjara.. Ksih anak bwt ayah tuk selama d bw k mati .. N allah lbih mengetahui nasib tuk syamila krn dgn teraniaya m'bw ia k pintu syurga.. Slh 1 cra ALLAH mw m'bw hamba ny k nikmat syurga nya.. Sprti cerita d jaman nabi musa dlu s'org anak mnta msuk syurga nmun pahala ny tdk ckup mk allah m'takdir kn dia d mkan harimau.. Dgn teraniaya bgt la nikmat syurga yg ia pinta allah makbul kn.. Bgt crt jibril pd nabi musa 'alaihissalam.. Salam awk nie sy.. Hehehe Rahmah doank.. Sy tak pndai msuk nm psal tu pkai anymos..

AnA_mIrDzA said...

salam aalaika... nice story...but nk kongsi ckit muhrim tu mksdnya org y berihram... n klau nk ckp adk bradk or ahli kluarga y hram dkhwini sbnrnya 'mahram'... kongsi2 ilmu ^,^

Hafimi Huzin said...

salam ana. memang sebelum ni ramai salah anggap dgn perkataan muhrim dan juga mahram. ya, muhrim memang membawa maksud org yg berihram. tapi tahu tak sebenarnya muhrim membawa dua maksud, selain maksud org yg berihram, muhrim juga boleh membawa maksud adk bradk or ahli kluarga y hram dkhwini. *sekadar ingin memperbetulkan. boleh check di kamus dewan :)

Hussaini Ghazali said...

grandd tahi lalat. boleh bwk ke teater.

littlemermaid said...

salam haiii dah lama sy x bc hasil coretan awk,hr niw barulah ada peluang belek blog.subhanaallah hasil coretan awk niw bnyk yg blh di jdkan pengajaran dan pendoman...huhuhu
good luck...

Batu Adventure said...

nice day:)
saya adalah saya hari ini karena pilihan-pilihan
yang saya kemarin..


bagi-bagi motivasi yaa.. :)


http://wisataoutboundmalang.com/

sue zilah said...

suka ..suspen dan yang penting ada pengajaran