Blogger Layouts

Search This Blog

Loading...

Followers

Saturday, 5 May 2012

CERPEN: 'Hanya Kerana Tahi Lalat' by Hafimi Huzin





        “Ni lah jantan bodoh yang tolak tuah tu. Aku sendiri tak faham kenapa dia tak jadi nak rogol aku malam tu. Perempuan kampung tu jugak yang jadi mangsa nafsu serakah dia. Padahal jantan-jantan lain kalau tengok aku sampai macam nak tersembul biji mata diorang tau! Ishhh... Pelik betul aku!” Rinsya yang tegak berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh, dengan wajah angkuhnya selamba saja dia melemparkan akhbar di tangannya ke atas meja rakan setugasnya, Firah Annur... yang lebih mesra dengan nama Fyra.
         Sewaktu sahabatnya Fyra sedang tekun meneliti artikel yang tersiar pada muka hadapan tersebut, Rinsya pula menanti sambil bermain-main dengan rambut ikalnya yang keperangan itu. Rahangnya kelihatan bergoyang-goyang mengunyah gula-gula getah di dalam mulut.
       Berkerut-kerut dahi Fyra sewaktu menghadam berita tersebut. Bukannya dia terkejut meskipun kemarahannya akan sentiasa meluap-luap setiap kali dihidangkan dengan berita sebegitu. Bayangkanlah... sudah lebih 5 tahun dia bergelumang dengan dunia kewartawanan. Berita-berita sebegini terutamanya yang berkaitan dengan kes rogol seperti sudah basi untuk membuatkan dia terkejut. Dia sudah muak dengan berita-berita sebegini. Namun, perasaan simpati dan kasihan itu masih wujud, masih sama seperti sebelum dia bergelar wartawan lagi.
      Cuma.... seperti Rinsya, dia juga hairan sebenarnya. Walaupun dakwaan Rinsya sekejap tadi kedengaran begitu angkuh, namun dia sendiri sebenarnya turut berkongsi perasaan yang sama dengan sahabatnya itu.
           Aneh sungguh... Kalau diperhatikan, perempuan yang menjadi mangsa rogol kepada suspek tersebut tidaklah cantik rupa parasnya. Bertudung dan menutup aurat pulak tu! Mukanya pula agak penuh dengan jerawat. Sekadar sedap mata memandang jika dibandingkan dengan Rinsya yang begitu sempurna sekali rupa parasnya. Bertubuh tinggi lampai persis seorang model. Kulitnya pula cerah bak putih telur. Mata bundarnya yang kelihatan bersinar-sinar itu sahaja sudah cukup untuk menggoyahkan keimanan mana-mana lelaki. Itu belum lagi kalau dipandang bibir merah basahnya yang terbentuk cantik itu.
       Fyra mendongakkan kepalanya memandang Rinsya. Dia sudah tidak berminat lagi untuk menatap akhbar di atas mejanya itu. Dia hanya mahukan penjelasan daripada Rinsya. Dia betul-betul nak tahu... mengapa tidak Rinsya yang menjadi mangsa? Mengapa si tertuduh menolak Rinsya daripada menjadi ‘lauk’nya dan memilih perempuan bertudung yang bernama Syamila, yang tidak cantk rupa parasnya itu? Apa sebenarnya niat si perogol?
               

IMBAS KEMBALI...
                
MALAM itu, seperti yang diamanahkan, Rinsya ditugaskan untuk mendapatkan maklumat berkaitan artikel yang sedang dikumpulnya. Dia sepatutnya ke kawasan banglo tinggal itu bersama-sama dengan Fyra. Namun memandangkan Fyra ketika itu masih berada di kampung atas ‘cuti pelepasan’ neneknya yang baru meninggal dunia, jadi terpaksalah dia melakukannya seorang diri.
          Gadis kacukan Inggeris sorang ni memang berani! Atas faktor itulah dia tidak memilih untuk menjadi model mahupun pramugara meskipun peluang dalam kerjaya itu lah yang paling banyak ditawarkan kepadanya.
        Cukup dengan kamera SLR yang digantung pada lehernya, Rinsya melakukan tugasannya dengan begitu sempurna sekali. Hanya 15 minit diperlukan. Siap! Dia bersedia untuk pulang ke rumah.
         Darah kering betullah perempuan ni! Sewaktu dia shoot beberapa keping gambar tadi pun, dahinya langsung tidak berkerut. Wajahnya juga tidak membayangkan rasa cemas dan takut. Buktinya, setitis peluh pun tidak tumpah dari atas dahinya. Sedangkan kalau diperhatikan kawasan banglo tersebut, sesiapa sahaja akan tegak berdiri bulu romanya. Halamannya sahaja penuh bertaburan daun-daun kering. Belum dilihat keadaan bangunan itu sendiri yang mana sebahagian besarnya telah ‘lumpuh’ dimamah lumut. Bahagian tingkap pula sudah tertutup dengan tumbuhan-tumbuhan hijau yang akarnya tertanam entah dari mana. Sesekali turut kedengaran bunyi yang pelik-pelik. Menyeramkan sungguh!
         Lebih menyeramkan lagi apabila dia terpaksa melalui satu lorong sempit untuk mendapatkan keretanya yang hanya dapat diparkir agak jauh juga dari banglo misteri tersebut. Lebih mengagumkan, Rinsya masih menayang riak selamba pada wajahnya. Langkahnya juga dihayun selamba mengikut gerak-tubuhnya. Tidak pula dia kelihatan seperti berjaga-jaga dalam setiap langkahnya. Bahkan, dalam keadaan gelap begitu, sempat pula dia membelek-belek gambar yang berjaya ditangkapnya tadi menerusi skrin kamera yang berada di dalam genggamannya.              
      Dalam keadaan dia sedang ralit itulah tangannya direntap tiba-tiba sehingga terlepas kamera dari tangannya. Berderau darahnya apabila sebaik sahaja dia menoleh, dia terus terpandangkan sepasang mata yang sedang mencerlung ganas wajahnya seperti ingin disiat-siat. Beberapa kesan luka seperti bekas torehan pada wajah bengis itu benar-benar menakutkannya. Begitu juga dengan jambang lebatnya yang langsung tidak terurus itu. Gigi yang digerit kuat hingga menggeletar rahangnya, membayangkan lagi betapa ganasnya lelaki itu...


*******************

               
                “KAU tahu Fyra... Dia cengkam leher aku ni kuat sangat sampaikan aku langsung tak boleh nak bernafas waktu tu. Tapi yang buat aku pelik sampai sekarang ni... masa dia cengkam leher aku, dan bila dia ternampakkan aje tahi lalat kat leher aku ni, dia terus lepaskan aku. Dia seperti takutkan sesuatu. Dia pandang aku macam pandang hantu. Hurmm... Aku rasa dia tu ada masalah mental la, Fyra.” Rinsya mengusap-usap tubuhnya. Seram sejuk dibuatnya bila diingat kembali bagaimana si perogol tersebut cuba menggomol lehernya. Anehnya, niat lelaki tersebut merogolnya terus terbatal sebaik sahaja terpandangkan tahi lalat pada pangkal lehernya yang sentiasa dan sengaja dibiarkan terdedah itu. Lelaki itu terus menolaknya jauh-jauh seolah-olah dirinya waktu itu adalah seekor ular berbisa. Tak pun mungkin perogol tu tengok aku ni ada rupa Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal Malam tak? Tu yang dia takut tu agaknya. Padahal dia tak tahu... aku ni memang ada iras-iras Maya Karin pun! Sempat pula Rinsya memain-mainkan perkara yang sepatutnya dianggap serius itu. Perempuan ni memang selamba habis. Semua benda dia anggap mainan!
                “Lepas lelaki tu lepaskan kau? Kau buat apa?” Ada baur curiga dalam getar suara Fyra. Namun, sedaya upaya dia cuba menyembunyikan rasa curiga itu pada riak wajahnya. Takkanlah lelaki tu boleh terbatal niatnya sedangkan peluang sudah ada di depan mata?
                “Lepas tu aku lari la...” Acuh tak acuh saja Rinsya menjawab.
                 Fyra ternyata tidak berpuas hati dengan jawapan yang dikira tidak kukuh dan konkrit itu.
                “Habis tu... macam mana kau boleh tahu lelaki tu dah rogol arwah Syamila, budak perempuan kat surat khabar ni?” Fyra mengangkat akhbar dari atas mejanya seraya dia membuai-buaikannya di hadapan Rinsya. Keningnya ikut terjongket-jongket. Suaranya sengaja ditekan dan ditinggikan sedikit. Seperti sengaja ingin menakut-nakutkan sahabatnya itu.
         Rinsya memasang wajah kelat. “Kau ni macam tak yakin aje dengan aku.” Kemudian dia menghempaskan sebuah keluhan.
              “Lepas aku larikan diri, kebetulan waktu tu aku ternampak arwah Syamila sedang tergesa-gesa berlari dalam lorong yang sama. Dia macam takutkan sesuatu. Tapi aku langsung tak tahu apa yang dia takutkan. Sehinggalah lelaki bangsat tu rentap tangan arwah Syamila. Dia cekik leher arwah, dia tekup mulut arwah sampai arwah tak dapat nak bernafas. Kemudian, dia bawa arwah jauh ke dalam semak... Waktu tu... Waktu tu, aku dah tak nampak apa-apa lagi dah, Fyra. Aku terus cabut dapatkan kereta aku. Aku call polis tapi malangnya... semuanya dah terlambat, Fyra...” Kedengaran sesak dada Rinsya sewaktu dia menerangkannya. Cemas wajahnya bila mengingatkan peristiwa ngeri itu.
                “Cuma aku yakin, ada hikmahnya semua ni, Fyra. Mungkin kau pun boleh jadikan pengajaran.”
          Fyra yang masih tertunduk bingung, lekas mendongakkan kepalanya. Bulat matanya menagih penjelasan dari sahabatnya itu. Pengajaran apa yang dimaksudkan oleh Rinsya?
               Rinsya yang faham maksud kerutan pada dahi Fyra sekadar tersenyum tawar. Di dalam hati, dia mengejek sebenarnya.
             “Pengajaran yang aku maksudkan, lepas ni kau tak bolehlah nak judge aku sesuka hati macam sebelum ni. Sekarang dah terbukti kan. Jantan-jantan sekarang ni dah tak kira perempuan bertudung ke, perempuan seksi ke, hodoh cantik semua belakang kira. Semua diorang bedal! Silap-silap pondan pun diorang lenjan sekali!”
                Puas hati Rinsya. Selama ni, Fyra memang tak sudah-sudah mengingatkan dia tentang batas-batas aurat yang perlu dijaganya. Nak termuntah bila hampir setiap hari dia disumbatkan dengan nasihat yang hampir serupa. Sekarang, tengoklah apa yang dah jadi? Arwah Syamila yang bertudung, yang muka hodoh tu jugak yang kena rogol, yang kena bunuh hidup-hidup! Aku yang seksi ni, yang orang selalu kutuk-kutuk macam lah diorang bagus sangat... Tak ada pula aku mati kena rogol! Hidup kat dunia ni, hati kena baik. Itu yang penting. Arwah Syamila tu mesti hati dia busuk. Tu yang mati dalam keadaan memalukan tu!
              Amboi... sesedap mulut dia aja mengata arwah Syamila tu berhati busuk. Yang dia bersangka buruk pada orang yang dah meninggal dunia tu, baik sangatlah tu?
                 Fyra sedari tadi hanya mendiamkan diri. Menggeleng tidak. Mengangguk pun tidak. Dia kelihatan semakin bingung. Semakin dia cuba mencari jawapannya, semakin berselirat pula persoalan-persoalan yang bermain di benaknya.
            ‘Apa sebenarnya niat perogol tu? Kenapa tidak Rinsya yang menjadi mangsanya? Kenapa si perogol memilih arwah Syamila sebagai ‘lauk’nya?
              Arwah Syamila pula... Apakah arwah sedang cuba melarikan diri dari seseorang waktu tu? Macam mana dia boleh berada di kawasan lorong sempit tersebut lewat malam begitu? Dan mengapa arwah seperti tergesa-gesa melarikan dirinya dari sesuatu sehinggakan akhirnya dia terpaksa menjadi mangsa kepada perogol tersebut? Takkanlah semua itu hanya satu kebetulan? Mesti ada hubungkaitnya dengan Rinsya!



********************
               
                

           PETANG itu, Rinsya sekali lagi dipanggil pihak polis untuk disoalsiasat. Fyra bertegas ingin ikut sama. Sebolehnya, dia ingin mendapatkan segala jawapan bagi menjawab kecelaruan yang mengasak fikirannya. Biarlah tak ada satu persoalan pun yang tertinggal!
          Atas ‘tiket’ dan pas kewartawanan, mereka berdua berjaya ‘memujuk’ untuk bersemuka dengan perogol dan pembunuh arwah Syamila itu.
          Memandangkan Rinsya seperti tidak berminat, Fyra yang tidak mahu membuang masa terus mengajukan soalan. Itupun setelah dia beberapa kali menelan air liurnya. Cuak juga bertentang mata dengan lelaki berwajah bengis di hadapannya ini walaupun mereka telah dipisahkan oleh satu kepingan jernih yang diletakkan di tengah-tengah sebagai pemisah.
          “Errrr... Ermm... Boleh saya... Boleh saya tahu kenapa malam tu cik tak rogol kawan saya ni?” Begitu berhati-hati sekali dia menyusun ayat walaupun soalan yang diajukannya itu kedengaran seperti tidak relevan.
           Lelaki di hadapannya itu perlahan-lahan mengangkat kepalanya. Sebagaimana yang pernah dirasakan oleh Rinsya pada malam itu, begitu jugalah yang dirasakan oleh Fyra saat ini. Berderau darahnya sebaik terpandangkan wajah bengis yang terdapat kesan luka dan torehan itu. Lebih menyeramkan tentulah matanya yang mencerlung ganas itu. Dan yang mengejutkan, tentulah jawapan yang keluar dari bibir si perogol tersebut!




*********************
               
               
       
        “AKU tak rogol kawan kau sebab tahi lalat yang ada pada leher dia tu!”
         Fyra terkejut, sehingga terlopong. Maknanya, benarlah seperti yang didakwa oleh Rinsya, sahabatnya!
         “Tapi...tapi...” Dia yang bingung kelihatan terlalu payah untuk meneruskannya. Berkerut-kerut dahinya memikirkan kebernasan lewat pengakuan itu.
          “Kenapa dengan tahi lalat tu?” Atas rasa ingin tahu, dia mendesak jua.
          Lelaki bengis tadi mengeluh. Seperti berat beban yang terpaksa ditanggungnya. Agak lama juga Fyra perlu menanti lelaki itu membuka mulutnya demi membongkarkan segala rahsia dan persoalan yang menyesakkan.
          “Tahi lalat tu telah mengingatkan aku pada arwah emak aku. Kebetulan agaknya... tahi lalat kat leher kawan kau tu tempatnya terletak sama dengan tahi lalat dekat leher arwah mak aku... Waktu tu, aku terus terbayangkan arwah mak aku. Dan sebab itulah... aku terus batalkan niat aku untuk rogol kawan kau ni!”
       Fyra dan Rinsya saling berpandangan. Fyra sekadar tersenyum dan mula memikirkan hikmah di sebaliknya. Sementara Rinsya pula, gadis kacukan ini terlopong mendengarkan pengakuan tersebut. Hampir nak tersembul biji matanya!

               



*********************



              
             “SEKARANG kau dah nampak kan, Rin? Sampai begitu sekali ALLAH menjaga dan melindungi kau walaupun macam yang kau pernah cakap kat aku dulu, kau jarang sekali ikut suruhan dan perintah DIA...   Betapa besarnya nikmat ALLAH... Betapa pengasihnya DIA pada hamba-hambanya sampaikan tanpa kita sedar, dalam sekecil-kecil tahi lalat tu pun, ada nikmat dan hikmah yang begitu besar tersembunyi di sebaliknya. Hanya kerana tahi lalat yang sebesar tahi hidung tu, kau dah terlepas daripada menjadi mangsa rogol. Bukan itu aje, kau juga dah terselamat daripada dibunuh. Ya ALLAH... Besar sungguh kuasaNYA... Begitu sekali ALLAH jaga aurat kau, Rin. DIA telah tanamkan satu permata yang sangat berharga pada leher kau. Mungkin sebab DIA mahu kau menjaga 'pemberianNYA' itu dengan baik. DIA mahu kau lindungi dan hargai permata itu dengan sebaik-baiknya supaya kau tidak sewenang-wenangnya mendedahkannya pada pandangan orang lain, pada mereka yang bukan semuhrim dengan kau...” Fyra memejam matanya rapat-rapat. Walaupun dia tidak menghadapi situasi tersebut namun dia  turut dapat merasakan betapa besarnya rahmat ALLAH ke atas hamba-hambaNYA...
            Rinsya mengangguk lemah. Fikirannya masih menerawang mengingati kecelakaan yang berlaku pada malam yang kalau boleh, langsung tidak ingin diingatinya!
           “Cuma aku terkilan. Kesiannya dekat arwah Syamila tu... Dia bukan aje dirogol, tapi dibunuh! Kau boleh bayangkan tak, Fyra?” Rinsya mengepal penumbuknya sekuat hati. Baru sekarang hatinya dapat merasakan satu keinsafan yang tidak pernah dirasanya selama ini. Sesal dan bengang bergenang-genang dalam lecak wajahnya.
           “Nak buat macam mana Rin... Semuanya dah ditetapkan. Kita yang hidup ni sebolehnya jagalah baik-baik maruah diri kita. Macam arwah Syamila tu...”
              “Kenapa dengan arwah?” Dengan rasa teruja ingin tahu, Rinsya lekas-lekas menyelit.
         Fyra mengeluh. Sebak pula hatinya ingin ‘bercerita’. Cerita sedih yang kalau boleh tidak ingin diingatinya sampai bila-bila.
            “Sewaktu kejadian... arwah sebenarnya sedang melarikan dirinya daripada menjadi mangsa rogol kepada ayahnya sendiri.”
            Berderau darah Rinsya lewat kenyataan itu. Sampai pucat seluruh wajahnya. Dia seperti sudah dapat mengagak keseluruhan cerita yang akan disampaikan oleh sahabatnya itu.
               “Malam tu, ayah arwah baru balik berjudi dalam keadaan mabuk. Walaupun arwah sedar tindakannya melarikan diri hanya akan menamatkan riwayat hidupnya sendiri, arwah tetap nekad demi maruah diri.. juga demi seorang ayah yang akan tetap disayangi. Walaupun seorang yang bergelar ayah itu memiliki niat yang paling buruk buat anaknya... Arwah seperti sanggup dirogol dan dibunuh oleh manusia lain asalkan manusia itu bukanlah ayahnya. Begitu sekali arwah tidak mahu menyeksa ayahnya yang kejam itu dengan segunung dosa.”
          Menggigil hingga seram sejuk tubuh Rinsya mendengarnya. Bibirnya yang menggeletar menghalangnya untuk terus mendesak tanya.
           “Aku tahu semua tu dari paper hari ni.”
       Terketar-ketar tangan Rinsya sewaktu menyambut naskhah akhbar yang dihulurkan oleh rakan setugasnya itu.
           “Perogol tu memang kejam! Jahanam! Bangsaaaaattttt!” Rinsya yang gagal mengawal kemarahan menjerit bagaikan terkena histeria. Sekelip mata surat khabar di tangannya renyuk dan hancur dikerjakannya. Habis segala kertas-kertas, fail-fail yang menimbun di atas mejanya dicampak sesuka hatinya, termasuklah peralatan-peralatan tajam yang agak berbahaya. Rinsya seperti sudah tidak waras!
             Sekelip mata sahaja separuh badannya basah berpeluh-peluh. Mujurlah waktu itu, hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di dalam pejabat memandangkan mereka yang lain sudahpun turun untuk makan tengah hari.
                “Kenapa dengan kau ni, Rinsya? Apa kau dah gila ke?” Dalam takut-takut, Fyra ikut cemas. Dari duduk, dia bangkit cuba meredakan sahabatnya itu.
             “Lelaki tu yang gila!” Rinsya masih berterusan menempelak. Benci sungguh dia pada lelaki yang telah merogol dan membunuh arwah Syamila itu. Lihat saja dari nafasnya yang turun naik dan dadanya yang berombak ganas itu pun sudah boleh diagak betapa hebat sekali dendamnya!
           Fyra terus merentap pergelangan tangan Rinsya yang tergawang-gawang dengan sesekali menghentak dada meja dengan hentakan yang kuat memekakkan telinga.
                “Dia tak gila, Rin. Lelaki tu tak gila. Ya... Dia mungkin dah menzalimi arwah Syamila. Dia telah berlaku kejam dan tak berlaku adil pada arwah. Tapi dia tak gila! Dia lebih waras daripada manusia-manusia kejam yang lain. Sekurang-kurangnya, sewaktu hatinya terlintas untuk lakukan perbuatan terkutuk, fikirannya masih terdetik untuk membayangkan wajah arwah ibunya.   Buktinya... hanya dengan memandang tahi lalat pada leher kau tu, dia terus ketepikan nafsu serakahnya yang membuak-buak ketika itu gara-gara waktu tu dia terkenangkan arwah emaknya... Sedangkan kita? Sedangkan manusia-manusia lain? Setiap kali kita melakukan kesilapan, cuba kita muhasabah diri kita sendiri... Pernah tak akal fikiran kita terdetik atau teringatkan emak atau ayah kita sewaktu kita terbabas melakukan perbuatan terkutuk? Pernah tak? 
           “Jangan kata wajah mak bapak kita, TUHAN kita yang kita selalu abaikan tu pun tak pernah terlintas kat hati kita, dekat fikiran kita!”
           "Dan lelaki yang kau kata kejam itu juga sampai ke hari ini masih ingat dan masih simpan 'kenangan' tahi lalat pada leher arwah ibunya walaupun arwah ibunya sudah hampir 10 tahun pergi meninggalkannya. Itu  tandanya dia selalu memandang wajah ibunya. Memandang yang bukan sekadar pandangan, tapi pandangan yang sarat dengan kasih sayang... Sedangkan kita bukan kata nak ingat tahi lalat, kerut yang menggambarkan penderitaan pada wajah ibu kita pun belum tentu kita akan ingat, belum tentu kita terfikir untuk 'membilang' garis-garis kerut yang melambangkan kesengsaraan ibu kita tu..."
              Rinsya terdiam setelah terpukul dengan kata-kata itu. Dengan matanya yang membulat, tercengang-cengang dia merenung wajah sahabatnya yang sedang menahan marah itu. Akhirnya, dengan kepala yang tertunduk perlahan-lahan, dia menangis teresak-esak bersama ingatan yang hinggap pada ibunya yang telah bertahun jatuh lumpuh... yang sudah berbulan-bulan tidak dijenguknya itu...
               
               


       
*********************





Sunday, 22 April 2012

PART 9: TAKDIR TAK DIPINTA




40











HAMPIR setengah jam Umi Zafwa membiarkan tubuhnya terpukul dalam ribut hujan di tengah-tengah halaman banglo mewah yang luas itu. Dalam keadaan gelap, ditambah pula dengan cuaca tidak baik, yang sesekali diselangi petir yang menggegarkan guruhnya, tiada seorang pun yang mempedulikan dia yang sedang menggil dan menggeletar seluruh tubuhnya itu. Keadaan di sekeliling banglo yang terletak di kawasan yang agak terpencil itu memang agak jauh dari masyarakat sekeliling. Kalau ada pun, sudah tentu tiada siapa yang berani keluar rumah pada waktu-waktu begini.
Sesekali, tanpa Umi Zafwa menyedarinya, Tengku Shariedan mencuri-curi menjenguk isterinya itu menerusi tingkap bilik. Terumpan juga hati lelaki itu dengan rasa simpati melihatkan Umi Zafwa yang seperti sengaja menyeksa dirinya sendiri.
Tengku Shariedan mengaku di dalam diam. Ya, dia sudah tidak mampu untuk menafikannya lagi! Hatinya telah digugat dengan kesabaran dan ketabahan yang dimiliki oleh isterinya itu. Apatah lagi sewaktu dia terpandangkan Umi Zafwa yang terkumat-kamit mulutnya mendoakan sesuatu. Dengan mata yang terpejam rapat dan kepala yang terdongak ke atas, jelas dapat dilihat air mata Umi Zafwa yang lebih lebat daripada hujan yang sedang meribut ketika itu.
Malang sekali, ‘pemandangan’ yang cukup menghibakan itu masih belum cukup kuat untuk meruntuhkan egonya!
Hanya setelah melihatkan keadaan Umi Zafwa yang semakin kritikal tidak lama kemudian, barulah Tengku Shariedan tidak senang duduk dan mula menggelabah. Itupun dia masih tidak berganjak dari posisi dia berdiri. Dia masih berdiri tegak memerhati dari cermin tingkap sehinggalah apabila tubuh Umi Zafwa perlahan-lahan menjalar dan tertiarap di atas tanah yang sudah berlumpur itu, barulah Tengku Shariedan gesa-gesa berlari ke bawah. Tiba-tiba dia berubah cemas melihat keadaan isterinya itu. Apatah lagi bila mengenangkan wajah Umi Zafwa yang seolah-olah sedang menanggung penyeksaan yang tidak terperi!
Ya! Dia memang tidak dapat mendengar apa-apa. Dia tidak dapat mendengar rintihan suara isterinya. Tapi hatinya seperti dicuit untuk turut merasakan kepedihan yang terpaksa ditanggung oleh wanita itu, memandangkan sebelum ini Umi Zafwa tidak pernah sekali pun ‘merajuk’ dan berputus asa dengan dugaan yang terpaksa dihadapinya. Inilah pertama kalinya dia melihat Umi Zafwa seperti sudah tewas dan berputus harap. Inilah pertama kalinya dia melihat isterinya merintih, meronta-ronta seperti manusia yang sudah hilang pedoman. Umi Zafwa kelihatan tidak ubah seperti seseorang yang sedang meratap kematian insan tersayang...
Sebaik pintu dibuka, Tengku Shariedan terus meluru ke arah Umi Zafwa yang sedang dalam keadaan tertiarap dengan kedua belah tangannya meramas-ramas tanah yang berlumpur. Tanpa teragak-agak, Tengku Shariedan terus mendukung isterinya itu sebelum digalaskan pada bahu kanannya. Berlari-lari Tengku Shariedan yang juga sudah basah lencun seluruh badannya, menuju semula ke bawah bumbung rumah. Umi Zafwa yang dipikulnya itu dilorotkan perlahan-lahan supaya isterinya itu dapat berdiri dengan baik.
“Kenapa kau ni degil sangat hah? Aku dah halau orang tua kau, aku dah rampas rumah buruk tu, kenapa kau tak reti-reti nak berambus lagi? Sedarlah, kau dah tak ada apa-apa lagi kat sini. Jangan kata harta, keluarga kau pun dah tak ada! Jadi, dah tak ada sebab untuk aku tengok muka kau lagi!”
Umi Zafwa masih mendiamkan diri dengan mata yang terpejam rapat. Sekali lagi Tengku Shariedan berasa tertekan dengan keadaan itu. Lantas, dia memaut tubuh kecil itu. Direnungnya wajah itu sedalam-dalamnya.
 “Dengar cakap aku, Umi. Tolong pergi dari sini. Berambus! Aku kata berambus! Aku taknak tengok kau seksa diri kau tu lagi. Dan tolonglah jangan cuba bunuh diri! Kau sendiri tahu kan kalau kau mati, aku takkan pernah terlintas untuk kebumikan jenazah kau? Kau mesti takut kan kalau mayat kau hanya terbiar dihurung anjing? Dan kau sendiri semestinya tahu yang aku bukannya suami kau yang akan uruskan jenazah kau! Hanya mak bapak kau saja yang sanggup buat semua tu. Tapi mak bapak kau dah tak ada kat sini! Aku dah halau diorang semua. Cuba kau buka mata kau tu luas-luas Cuba kau tengok sekeliling kau. Tengoklah! Mak bapak kau dah tak ada. Aku dah halau mak bapak kau! Kau faham tak? Kau faham tak?” Tengku Shariedan menggoncang-goncangka. Namun, tubuh lembik itu langsung tidak berikan sebarang reaksi. Tengku Shariedan yang tertekan dengan keadaan itu menjerit sekuat hatinya dengan tangan yang menarik-narik rambutnya sendiri dengan sekuat hati.
Sementara Umi Zafwa pula terus menangis sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dengan tubuh yang masih menggigil kesejukan.
“Kalau saya bunuh diri saya sendiri sekalipun, buat apa awak nak kisah? Siapa awak nak larang saya daripada buat semua tu sedangkan awak baru saja menafikan saya ni isteri awak. Ataupun, awak juga sebenarnya sedang menafikan yang hakikatnya, awak tak boleh hidup tanpa saya? Sebab tu ke awak takut kalau saya terus seksa diri saya sendiri sampai mati?”
Tengku Shariedan tergamam. Dia benar-benar terpukul dengan sindiran itu sementelah hatinya sendiri tidak dapat menafikan kata-kata itu. Ya, itulah hakikatnya. Dia hanya
“Tak perlu bimbang, Tengku Shariedan. Saya tak pernah tergamak untuk menyeksa jauh sekali berniat untuk membunuh manusia yang bernama Umi Zafwa. Saya hanya berani menyeksa Qhalida. Kerana selama ini, saya mencintai awak sebagai Qhalida. Bukannya sebagai Umi Zafwa!”
 “Kerana untuk pengetahuan Tengku, hanya Qhalida saja yang menyayangi lelaki bernama Tengku Shariedan dengan sepenuh hatinya. Sebab itulah dia sanggup berkorban apa saja untuk Tengku. Dan dia sanggup seksa dirinya sendiri biarpun sampai nafasnya terhenti…” sambung Umi Zafwa lagi sebelum dia kembali menundukkan kepalanya. Mungkin ingin menyorokkan matanya yang sudah bergenang saat itu. Ataupun mungkin dia berasa malu dengan pengakuannya sendiri…
Tengku Shariedan yang merenung bengis segera mengalihkan pandangannya ke arah lain, seolah-olah cuba untuk menafikan hakikat itu.
“Malangnya, kau bukanlah Qhalida yang aku terlalu rindukan tu. Dan sudah tentu kau juga bukan Qhalida yang aku sayangkan sangat tu. Kau patut sedar yang kau tu hanyalah Umi Zafwa. Perempuan yang tak pernah bagi apa-apa makna dalam hidup aku!”
Tanpa memandang wajah Umi Zafwa, Tengku Shariedan terus memusingkan badannya. Berkira-kira untuk masuk semula ke dalam rumah. Kecewanya Umi Zafwa usah dicerita. Namun, tidak semudah itu bagi wanita ini untuk berputus asa. Dia takkan menyerah kalah selagi lelaki ego itu tidak merebahkan cinta ke ribaannya!
“Tengku…” Lembut Umi Zafwa memanggil suaminya. Malangnya, Tengku Shariedan langsung tidak menghiraukannya.
Umi Zafwa menelan liur. Kemudian, dia menarik nafasnya dalam-dalam.
“Tengku… Umi Zafwa pernah terseksa ditinggalkan bertahun-tahun di dalam penjara hampir. Nyawanya juga hampir terputus di tali gantung. Waktu tu… Waktu tu, tak ada seorang pun yang sudi untuk datang menjenguknya. Termasuklah suaminya sendiri!” Ayat terakhir itu ditekan dengan agak kuat, membuatkan langkah Tengku Shariedan terus mati di situ juga. Hatinya terpukul apabila Umi Zafwa seakan cuba mengheretnya untuk menjenguk kisah silam yang masih sedang cuba untuk dilupakannya itu.
“Suami Umi Zafwa memang terlalu bencikan wanita itu. Tapi tidak Qhalida! Memandangkan Tengku Shariedan memang sayangkan Qhalida. Sebab itulah, sewaktu Qhalida ditinggalkan sendirian di tengah-tengah hujan lebat tadi, Tengku Shariedan dengan perasaan cemasnya, sanggup turun ke bawah untuk melindungi dan menyelamatkan Qhalida. Malangnya, kasihan sungguh nasib Qhalida bila Tengku Shariedan berpura-pura tidak menyayangi Qhalida lagi memandangkan egonya sendiri yang menghalangnya untuk menerima hakikat itu. Sebab dia tahu, bahawa sesungguhnya, Qhalida itu adalah Umi Zafwa! Sebab itulah, Tengku Shariedan mati-mati cuba menafikannya. Hanya kerana dia terlalu bencikan Umi Zafwa, isterinya sendiri!”
Berderau darah Tengku Shariedan setelah ditujah dengan kenyataan yang tidak mampu untuk dia nafikan lagi. Dengan tubuh yang menggigil sedikit, dia perlahan-lahan memusingkan badannya, seperti tidak berani untuk berdepan dengan kenyataan.
“Ini bukan soal ego. Soalnya, kau memang bukan Qhalida. Kau hanyalah Umi Zafwa!” tegas Tengku Shariedan, hampir berbisik. Seperti tidak yakin dengan apa yang dia sendiri perkatakan. Dia bencikan situasi yang memerangkapnya itu. Dia benci bila mana dia gagal untuk membela dirinya sendiri. Apa yang tak kena dengan aku ni? Kenapa aku perlu rasa takut? Kenapa aku perlu goyah? Kau tak perlu takutlah Tengku Shariedan. Buat apa kau nak takut dengan perempuan yang selama ini senang-senang aje kau boleh seksa sesuka hati kau?
Tengku Shariedan yang semakin tertekan, kelihatan menggeleng-gelengkan kepalanya. Lurus jari telunjuknya menuding tepat pada wajah Umi Zafwa.
 “Kau bukan Qhalida! Kau bukan Qhalida! Kau takkan mampu menandingi Qhalida. Qhalida sanggup lakukan apa saja untuk aku. Kau sendiri nampak dengan mata kepala kau sendiri kan, yang Qhalida sanggup korbankan nyawanya semata-mata sebab aku? Kau nampak kan? Tapi kenapa kau masih nak mengaku diri kau tu Qhalida? Kau sedar tak yang sampai bila-bila pun kau takkan mampu untuk menjadi sehebat Qhalida? Kau sedar tak? Kenapa susah sangat untuk kau faham hah?” Suara yang sentiasa ‘berkuasa’ itu secara tiba-tiba sahaja berubah menjadi sayu. Dia tidak mampu lagi untuk menyembunyikan perasaannya, apatah lagi air matanya yang menitis jelas pada pipinya saat itu. Sebagaimana Umi Zafwa, dia turut menundukkan kepalanya.
Kelihatan lemah sungguh lelaki yang selama ini digeruni kerana kekuatan dan kekasarannya itu. Tapi, hanya kerana seorang wanita bernama ‘Qhalida’ yang dulunya dibenci, dia kini boleh menjadi selemah itu.
Ya! Tengku Shariedan mungkin seorang lelaki bertubuh sasa, panas baran, gagah dan mampu menumpaskan sesiapa sahaja yang cuba menentangnya. Tapi, dia lupa. Dia lupa yang dia masih belum cukup kuat untuk menolak cinta, satu perasaan yang menyerangnya dalam diam, sehingga membuatkan dia ‘lumpuh’ dalam dia tidak sedar. Apatah lagi setelah cintanya itu bersemadi bersama pusara ‘Qhalida’. Dia menjadi sangat lemah untuk menghadapi hakikat itu.
“Terimalah hakikat, Tengku. Umi Zafwa adalah Qhalida. Kalau Qhalida sanggup berkorban apa saja untuk Tengku, begitulah juga Umi Zafwa!” Umi Zafwa meninggikan sedikit suaranya, dengan niat ingin menyedarkan suami sendiri yang sudah terlajak di dalam perahu mimpi, yang hidupnya penuh dengan penafian yang dia ciptakan sendiri.
Tengku Shariedan mengangkat kepalanya perlahan-lahan. Terlihat wajahnya yang bengis dan matanya yang merah akibat air mata yang kerap keluar menujah.
“Kau sanggup hidup melarat dengan aku?” duga Tengku Shariedan tiba-tiba. Sinis sekali suaranya. Memang ego sungguh lelaki yang seorang ini. Kenapalah susah sangat untuk kau mengakui semua itu, Tengku Shariedan? Tak payahlah kau berpura-pura lagi untuk berterusan menafikan hakikat itu! Terima sajalah yang Umi Zafwa itu adalah ‘Qhalida’. ‘Qhalida’ yang kau cintakan sampai separuh nyawa kau tu!
Kelihatan Umi Zafwa menganggukkan kepalanya dengan begitu yakin sekali.
“Walaupun kau terpaksa mengikat perut kau demi aku?”
Sekali lagi Umi Zafwa menganggukkan kepalanya.
“Walaupun aku melayan dan mengarah kau sesuka hati aku dan menganggap kau tak ubah seperti seorang hamba abdi?”
Umi Zafwa masih mengangguk dengan pantas.
“Walaupun…” Tengku Shariedan masih ingin menduga kesetiaan Umi Zafwa.
“Walaupun kau terpaksa serahkan tubuh badan kau pada aku?”
Kali ini Umi Zafwa tidak mengangguk, sebaliknya dia menjawab dengan tegas, “Kita masih pasangan suami isteri yang sah, Tengku…”
“Maknanya, kau sanggup lah serahkan tubuh kau pada aku walaupun doktor baru saja sahkan yang aku ni menghidap HIV positif?”
Terbeliak mata Umi Zafwa mendengarkan pengakuan Tengku Shariedan itu.
“Kenapa kau pandang aku sampai macam tu sekali? Mesti kau tak sanggup kan?  Aku dah agak dah. Hurmm.. Kalau macam tu, kau boleh pergi dari sini sekarang sebab dah terbukti yang kau bukannya Qhalida. Kau hanyalah Umi Zafwa!” Tengku Shariedan tersengih sinis. Kemudian dia memusingkan badannya, berkira-kira untuk melangkah masuk ke dalam rumah.
“Bukankah saya dah katakan tadi? Kalau Qhalida sanggup korbankan nyawanya demi awak, samalah juga dengan Umi Zafwa. Umi Zafwa juga sanggup menyerahkan apa saja untuk awak, Tengku Shariedan. Tak ada beza pun!” tegas Umi Zafwa dengan begitu yakin sekali. Sekaligus membuatkan langkah Tengku Shariedan lumpuh sebelum mati perlahan-lahan. Terus tubuh tegap itu berpusing semula. Maka terlihatlah wajah bengis yang kemerah-merahan sedang menahan kemarahan itu.
“Kenapa dengan kau ni hah? Kenapa kau degil sangat sampaikan kau tergamak tipu diri kau sendiri? Tolonglah jangan buat kerja gila ni Umi sebab kau akan menyesal juga satu hari nanti bila kau gagal untuk menjadi sehebat Qhalida.
Kau tahu sebab apa aku cakap macam tu? Sebabnya, hanya ada seorang Qhalida saja kat atas muka bumi ni!”
“Dan sayalah Qhalida yang Tengku maksudkan tu…” Umi Zafwa masih tidak mahu mengalah. Dengan beraninya, dia menentang renungan mata Tengku Shariedan yang terasa menyucuk-nyucuk dan menyiat-nyiat biji matanya. Walaubagaimanapun, dia tetap bertegas dengan keputusannya!
“Baiklah… Sekarang kau ikut aku, dan aku nak kau buktikan pada aku kalau betul kau tu adalah Qhalida!”
Dengan kasar, Tengku Shariedan terus merentap pergelangan tangan Umi Zafwa. Terpinga-pinga Umi Zafwa dibuatnya. Apatah lagi apabila Tengku Shariedan menarik pergelangan tangannya dengan kuat sehingga menyebabkan dia beberapa kali terdorong dan tersungkur ke atas lantai. Belum sempat untuk berdiri semula, Tengku Shariedan kembali mengheret tubuhnya. Sehinggalah mereka berdua betul-betul berada di hadapan sebuah bilik, barulah cengkaman yang menyakitkan itu dilepaskan.
Pintu bilik yang tercegak berdiri di hadapan ditendang dengan sekuat hatinya tanpa menghiraukan Umi Zafwa yang ketika itu sedang menangis, merayu-rayu padanya.
Belum apa-apa, kau dah menangis? Macam ni ke nak jadi ‘Qhalida’ aku? Jangan mimpilah, Umi Zafwa!
Hakikatnya, Umi Zafwa sebenarnya trauma diperlakukan sebegitu untuk kesekian kalinya. Masih jelas terbayang di matanya bagaimana Tengku Shariedan pernah bertindak sekejam itu ke atas dirinya walaupun peristiwa tersebut berlaku lebih 20 tahun yang lalu.
Bagaikan siaran ulangan, kali ini, sekali lagi Umi Zafwa dibogelkan dengan begitu rakus sekali sebaik sahaja tubuh kecilnya itu dihumban dan ditolak ke atas katil. Dengan sekali rentapan saja, habis baju kurung yang tersarung pada tubuhnya itu terbelah dan terkoyak menampakkan hampir seluruh tubuh badannya.
Saat itu, esakan Umi Zafwa menjadi semakin kuat. Dia menjerit-jerit, meronta-ronta minta dilepaskan. Malangnya, rayuannya itu langsung tidak diendahkan. Sebaliknya dengan penuh ghairah, Tengku Shariedan terus menanggalkan satu demi satu butang kemejanya sehinggalah terlihat tubuhnya yang sasa lagi berotot padu itu.
Umi Zafwa hanya mampu menjerit dengan sekuat hati, mengenangkan keadaan yang berlaku kira-kira 20 tahun yang lepas, kali ini berulang sekali lagi. Cuma bezanya, ketika itu, dia belum sah bergelar isteri kepada Tengku Shariedan. Kali ini pula, suaminya itu memang berhak untuk memperlakukan apa sahaja ke atas tubuhnya. Tapi, apakah alasan dan statusnya sebagai seorang suami itu sudah cukup untuk memberi keizinan buat Tengku Shariedan untuk memperlakukan sesuka hati terhadapnya?
Tengku Shariedan baru sahaja menanggalkan seluarnya. Perlahan-lahan, dia merangkak naik ke atas katil. Umi Zafwa yang tidak sanggup untuk melihatnya, terus memejamkan matanya. Dia menyerahkan segala-galanya pada Yang Kuasa. Andai kata ‘pengorbanannya’ ini mampu mencuit hati Tengku Shariedan yang sekeras kerikil itu, dia pasrah walaupun sekali lagi ‘kesuciannya’ ternoda di tangan suami sendiri.
Beberapa saat kemudian, Umi Zafwa dapat merasakan tubuhnya ditindih dengan kuat. Namun, dia masih enggan untuk membuka matanya walaupun dia sudah dapat merasa kesakitannya. Matanya masih dibiarkan terpejam walaupun air matanya yang berlinangan masih mampu mengalir keluar dari celahannya. Dia yang tadinya menangis teresak-esak, kini hanya tersedu-sedan dan akhirnya dia mengemam bibirnya rapat-rapat, sekaligus berusaha memujuk dirinya sendiri supaya tidak menangis lagi.
Lama-kelamaan esakannya mengendur sebelum berhenti perlahan-lahan. Digantikan pula dengan esakan lain. Tapi, esakan itu bukanlah datang dari bibir Umi Zafwa. Sebaliknya…
Tengku Shariedan?
Umi Zafwa perlahan-lahan membuka matanya. Waktu itu, barulah dia dapat merasakan tubuhnya sedang dipeluk kemas oleh Tengku Shariedan, membuatkan dia berada dalam keadaan yang cukup selesa sekali. Pinggangnya pula terasa erat dan selamat di dalam pelukan tubuh sasa suaminya itu.
Tapi… Tapi, kenapa Tengku Shariedan perlu menangis merintih-rintih sampai begitu sekali? Apa yang aku dah buat?
Umi Zafwa mencari-cari wajah Tengku Shariedan. Malang sekali, wajah itu tidak dapat diintainya memandangkan Tengku Shariedan masih menekupkan mukanya itu ke dadanya. Umi Zafwa hanya dapat merasakan bahagian dadanya basah dengan air mata suaminya.
Semakin pelik Umi Zafwa dibuatnya. Apa dah jadi? Kenapa begitu beriya-iya sekali dia menangis? Ahhh...lantaklah! Bukan ke sepatutnya sekarang ini aku rasa lega sebab dah terlepas daripada menjadi ‘mangsa’?
Kalau diikutkan, dia memang patut berasa lega. Namun, melihatkan keadaan Tengku Shariedan yang masih belum reda itu, hatinya jadi tidak tenteram!
Oleh itu, dia memberanikan juga dirinya untuk mengusap kepala suaminya itu. Namun, cepat-cepat dia menariknya semula apabila dia tidak lagi mendengar esakan lelaki itu.
“Maafkan abang, Umi. Maafkan abang. Memang betul apa yang Umi cakapkan. Abang ego! Abang memang sengaja nafikan semua tu. Abang sengaja buat-buat tak nampak. Maafkan abang, Umi. Ya ALLAH, apa yang aku dah buat ni? Hanya kerana ego, aku tergamak menipu diri aku sendiri. Aku sanggup berpura-pura dengan menganggap isteri aku ni dah mati di dalam jasad Qhalida. Sedangkan aku tahu, Qhalida sebenarnya masih hidup dalam nyawa isteri aku.
Abang tahu, Umi. Dari dulu lagi abang tahu yang sebenarnya Qhalida itu memang Umi Zafwa. Walau Umi tak pernah bagitahu abang sekali pun, abang dah dapat rasakan. Sebab abang tahu, takkan ada sesiapa pun yang sanggup berkorban untuk abang selain manusia yang bernama Umi Zafwa. Cuma abang saja yang sengaja nafikan semua tu. Umi, maafkan abang, Umi. Tolong maafkan, abang…”
Umi Zafwa terkedu mendengarkan rintihan hati suaminya itu. Dia seperti tidak percaya. Lalu, diamatinya Tengku Shariedan yang semakin teresak-esak menangis di dadanya. Akhirnya, Umi Zafwa ikut menangis, sambil tangannya perlahan-lahan mengusap kepala suaminya itu.
‘Terima kasih, ya ALLAH. Aku panjatkan kesyukuran ini ke hadratMU. Terima kasih kerana akhirnya, ENGKAU telah membukakan pintu hati suamiku ini. Aku tak pernah menduganya ya ALLAH, apatah lagi untuk bersedia meraikan detik yang penuh dengan limpahan kebahagiaan ini. Namun ternyatalah, ENGKAU setia mendengar setiap keluhan doaku ini dan ENGKAU juga Maha Memahami. Memahami bahawa sesungguhnya hati ini sudah tidak sanggup untuk menunggu lebih lama lagi. Terima kasih, ya ALLAH. Terima kasih…’












41











“UMI nak ke mana tu?” tegur Tengku Shariedan. Inilah pertama kalinya dia berbahasa dengan Umi Zafwa dengan suara yang cukup sopan dan lembut.
Umi Zafwa yang sedang mundar-mandir bersama wajah resahnya itu terus mematikan langkahnya.
“Errrr..urmm.. Saya nak cari mak dengan abah saya. Tengku tak kisah kan?” Takut-takut Umi Zafwa bertanya.
Berkali-kali dia meyakinkan dirinya sendiri yang suaminya itu sudah berubah, tetapi entah mengapa, perasaan trauma yang masih berbekas membuatkan dia tidak bersedia untuk menerima Tengku Shariedan dengan sepenuh hatinya.
 “Biar abang yang cari mak dengan abah. Biar abang yang bawa mak dengan abah pulang semula ke sini sebab abang yang kejam, abang yang dah halau mereka. Lagipun, hujan lebat sangat kat luar tu. Umi rehat saja kat rumah ya. Abang janji, abang akan bawa balik mak dan abah. dan kita semua akan tinggal kat dalam rumah ni sama-sama.”
Tengku Shariedan terkedu tiba-tiba. Barulah dia teringatkan sesuatu.
‘Hurmm.. Mungkin aku aje yang terlalu teruja, sedangkan Umi mungkin tak pernah terlintas untuk hidup dengan aku kat dalam rumah ni…’
Perlahan-lahan Tengku Shariedan mendongakkan semula kepalanya yang terkulai itu…
 “Itupun kalau Umi masih sudi untuk terus menjadi isteri abang. Abang takkan paksa, sebab Umi yang berhak untuk tentukan hidup Umi sendiri.” Tengku Shariedan merenung wajah isterinya itu dengan pandangan yang berkaca-kaca. Ada getar sayu dalam lirih suaranya. Kesayuan yang jelas mengharap, agar masih ada ruang di dalam hati Umi Zafwa untuk menerima seorang lelaki yang tidak layak untuk menyandang gelaran suami seperti dirinya.
‘Ya ALLAH, kenapalah baru hari ini aku menyedarinya? Menyedari bahawa akulah lelaki yang paling bertuah di muka bumi ini kerana memiliki seorang isteri sehebat Umi Zafwa?’
Umi Zafwa yang berdiri tegak di hadapan Tengku Shariedan yang duduk di birai katil itu gagal menahan air matanya daripada mengalir. Terhenjut-henjut bahunya menahan sebak yang meronta-ronta di dalam dada.
Lantas, tanpa menunggu lebih lama, tubuh suaminya itu terus dipeluknya. Tengku Shariedan yang tunduk merenung lantai, terpinga-pinga dibuatnya sebaik sahaja dapat dirasakan tubuhnya itu dipeluk seseorang. Siapa lagi kalau bukan Umi Zafwa yang memeluknya?
“Abang, jangan cakap macam tu, bang. Tolong jangan persoalkan kesudian Umi. Umi cintakan abang bukan kerana kesudian, tapi kerana keikhlasan. Keikhlasan hati Umi untuk menyayangi dan dicintai. Jadi tolonglah jangan biarkan Umi tentukan hidup Umi sendiri sebab Umi takkan mampu. Umi takkan berjaya bang! Umi sentiasa perlukan abang sampai bila-bila pun. Sebab itulah Umi terus bersabar. Umi terus menunggu walau berpuluh-puluh tahun lamanya. Sebab dari saat pertama Umi bergelar isteri abang, Umi sudah nekad untuk bertahan sehinggalah pintu hati abang terbuka perlahan-lahan untuk Umi...” bisik Umi Zafwa dengan suara yang bergetar. Namun, bergetar lagi daun hati Tengku Shariedan yang amat tersentuh dengan kata-kata isterinya itu. Makin bergetar hatinya sewaktu dia merasakan tubuhnya itu semakin erat dalam pelukan Umi Zafwa. Masya-ALLAH... Betapa selama ini, dia langsung tidak pernah sedar betapa sayangnya Umi Zafwa kepadanya.
 ‘Alhamdulillah... HambaMU yang paling hina ini bersyukur padaMU ya ALLAH. Walaupun dah terlalu banyak dosa aku pada KAU, KAU masih sudi mendengar doa dari hamba yang sepatutnya dipinggirkan ini, dan KAU masih sudi memakbulkan permintaanku. Sedang Umi Zafwa yang semulia-mulia hambaMU itu pun perlu menunggu berpuluh-puluh tahun sebelum doanya dimakbulkan, aku pula… sekelip mata sahaja KAU perkenankan doaku ini walaupun aku tidak pernah menunaikan suruhanMU, jauh sekali untuk meninggalkan laranganMU. Nyatalah, KAU Tuhan Yang Maha Memahami. KAU fahami yang aku ini adalah selemah-lemah dan sehina-hina hambaMU. KAU tahu dan kau juga memahami yang hambaMU ini tidak pernah kuat untuk menghadapi kehilangan seorang isteri yang sudah mula aku cintai sepenuh hatiku ini… ‘
Titisan kesyukuran yang mengalir dari mata Tengku Shariedan semakin deras berlinangan. Lantas, dengan rasa bahagia yang tidak dapat diungkapkan lagi,  dia membalas pelukan Umi Zafwa dengan rangkulan yang cukup erat sekali. Dicium sekali dahi isterinya itu dengan ciuman kasih yang bertalu-talu.
“Terima kasih, sayang. Terima kasih atas kesanggupan Umi untuk berada di sisi abang. Abang janji yang abang takkan sakitkan hati Umi lagi. Abang janji, sayang. Walau secalit hati Umi terluka, abang sanggup menampal luka itu dengan nyawa abang sendiri…”
Umi Zafwa mendongakkan mukanya seiring dengan hati yang bercambah dengan rasa terharu mendengarkan lafaz janji suaminya itu.
Dia dapat melihat senyuman Tengku Shariedan. Rasanya inilah pertama kalinya dia dapat melihat senyuman yang paling indah dari bibir suaminya itu.
Namun, tiba-tiba pula terdengar keluhan dari bibir Umi Zafwa. Cemas sungguh Tengku Shariedan dibuatnya. Apatah lagi apabila Umi Zafwa tiba-tiba meleraikan pelukannya.
“Kenapa ni sayang? Abang ada buat salah apa-apa ke?” Tengku Shariedan bertanya dengan hati yang terasa hendak pecah. Cemas sungguh riak wajahnya ketika itu. Tangannya tidak henti-henti mengusap pipi isterinya.
“Tak ada salah apa-apa pun. Cuma Umi tak sukalah abang guna ayat-ayat jiwang macam tu.” Umi Zafwa menayangkan wajah kurang senang.
“Macam tu pulak?” Tengku Shariedan mengerutkan dahinya. Hairan pula dia mendengar jawapan isterinya itu.
“Yalah. Bukannya Umi tak tahu, ayat yang terlebih jiwang dan terlebih romatic tu abang selalu guna waktu zaman playboy abang aje kan? Abang kena ingat, Umi bukan salah seorang daripada mangsa-mangsa-mangsa-mangsa-mangsa-mangsa abang tau!” usik Umi Zafwa, nakal. Sengaja dia mengulang perkataan ‘mangsa’ itu sebanyak yang mungkin.
 Melihat Umi Zafwa yang meleret senyuman nakalnya, barulah Tengku Shariedan dapat bernafas dengan lega. Tahulah dia yang isterinya itu sengaja ingin mengenakannya.
Sambil mengetap gigi pura-pura marah, dia menarik pergelangan tangan Umi Zafwa untuk dibawanya semula ke dalam pelukannya. Mengekek-ngekek Umi Zafwa ketawa apabila pada masa yang sama, tubuhnya turut digeletek oleh suaminya.
Akhirnya Umi Zafwa mengangkat kedua belah tangannya tanda menyerah kalah sebelum dia merangkul leher suaminya itu. Tengku Shariedan pula sengaja mengeratkan lagi pelukannya agar Umi Zafwa selesa duduk di atas ribanya. Cepat sahaja pasangan ini memutikkan kemesraan dan keserasian di hati masing-masing walaupun pernah tercipta ‘tragedi’ yang cukup mengguris hati dalam perkahwinan mereka berdua. Itulah yang dinamakan keajaiban cinta!
Sambil membelai-belai rambut Umi Zafwa yang panjang separas bahu itu, Tengku Shariedan mencuri-curi kesempatan itu untuk merenung wajah isterinya itu dengan renungan yang menusuk hingga ke dasar hati. Sampaikan jadi tidak keruan Umi Zafwa dibuatnya. Duduknya juga serba tidak kena.
“Kalau betullah Umi tak suka dengan ayat abang yang jiwang karat tu, apa lagi yg bibir abang ni mampu ucapkan selain…” Tengku Shariedan terus mendekatkan bibirnya betul-betul ke bibir Umi Zafwa yang mungil itu. Barulah kini Umi Zafwa faham mengapa Tengku Shariedan merenungnya sampai begitu sekali.
“Abangggggggggggg….!!!” Dia merengek-rengek sambil cuba melarikan bibirnya daripada menjadi mangsa jamahan suaminya. Malangnya, Tengku Shariedan tetap berdegil dan masih ingin ‘memburu’ ulas bibirnya itu untuk dicumbu.
Geram dengan sikap Tengku Shariedan yang suka mengusik itu, Umi Zafwa memukul-mukul manja dada bidang suaminya. Tengku Shariedan mengaduh, berpura-pura sakit. Sehinggalah setelah Umi Zafwa penat melayan karenah suaminya yang nakal itu, dengan manjanya, dia melentokkan kepalanya ke dada Tengku Shariedan yang sudah sedia dibuka luas untuk menjadi alas kepala buat isterinya. Diam-diam, dia merenung wajah Umi Zafwa yang kelihatan selesa menyembamkan sebelah pipi ke dadanya. Terselah sifat manja yang selama ini tidak pernah wujud dalam diri wanita ‘perkasa’ ini memandangkan yang memusnahkan semua itu adalah suaminya sendiri!
‘Ya ALLAH, kejamnya aku!’



MEMANDANGKAN hujan sudah tidak selebat tadi, tanpa berfikir panjang Tengku Shariedan terus meredahnya. Berlari-lari anak dia melangkah keluar dari kawasan berpagar rumah banglo milik arwah ayahnya itu. Sehinggalah apabila dia sampai di satu simpang, barulah dia memperlahankan lariannya.
Dari jauh, Tengku Shariedan dapat melihat samar-samar tubuh gempal seorang wanita, bersama seorang lelaki yang sudah uzur terduduk di atas kerusi roda. Siapa lagi kalau Bukan Mak Yam dengan Pak Dahrim.
Lantas, Tengku Shariedan terus menghampiri perhentian bas yang sudah menyenget bumbungnya itu, namun cukup untuk memberikan pelindungan buat kedua mentuanya itu berteduh seketika daripada hujan yang masih belum reda.
Mak Yam yang pada ketika itu sedang menyelimutkan kain batik pada tubuh Pak Dahrim yang sedang menggigil kesejukan, agak terkejut dengan kemunculan Tengku Shariedan yang secara tiba-tiba itu. Dia sempat menjeling tajam ke arah Tengku Shariedan yang tercungap-cungap menyedut nafas dengan kedua-belah tangannya berpaut pada palang besi yang terpacak di hujung bumbung perhentian bas tersebut.
“Hah! Kenapa pulak kau datang ke sini? Kau nak apa pulak kali ni? Dah kau halau kami dari rumah buruk tu, masih tak puas-puas lagi nak tengok kami berdua ni terseksa. Ataupun kau nak halau kami dari perhentian bas ni pulak?” sergah Mak Yam yang memang sudah tidak dapat bersabar lagi dengan sikap kejam Tengku Shariedan itu. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia mencekik-cekik saja menantunya itu, biar sampai tak bernyawa pun, dia langsung tak ralat!
Tengku Shariedan tersenyum membalas herdikan Mak Yam.
“Tak sangka saya yang Mak Yam ni hebat juga ya sampai boleh baca fikiran saya. Baguslah kalau Mak Yam sedar diri Mak Yam tu. Memang itu pun sebenarnya niat saya ke sini,” balas Tengku Shariedan selamba. Makin berkerut wajah Mak Yam dibuatnya. Pedih sungguh jawapan Tengku Shariedan itu.
“Kau jangan ingat dengan kuasa yang kau ada, kau mampu kawal orang lain sesuka hati kau! Apa kau ingat semua benda yang ada kat dalam dunia ni arwah bapak kau yang punya? Huh! Sedarlah sikit. Kau ada hak halau aku keluar dari rumah buruk tu pun sebab kau dah salah gunakan kuasa arwah bapak kau. Kalaulah arwah bapak kau tu masih hidup…” Mak Yam tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia yang pada mulanya ingin memaki-hamun Tengku Shariedan, terus menundukkan kepalanya. Sebak sungguh dadanya mengenangkan nasib yang terpaksa dilaluinya. Sudahlah Umi Zafwa seperti tidak dapat menerimanya. Hidupnya pula makin hari, makin melarat!
 Namun begitu, jauh di sudut hati, Mak Yam langsung tidak menyalahkan sesiapa kerana dia tahu, semua ini adalah balasan atas kesalahan yang pernah dia lakukan sepanjang hidupnya. Dia sendiri yang telah menzalimi dirinya sendiri!
“Memang pun saya ada hak untuk halau Mak Yam keluar dari rumah buruk tu. Dan sekarang pun, saya masih ada hak untuk halau Mak Yam dari perhentian bas ni. Mak Yam jangan buat-buat lupa pulak ya. Perhentian bas ni wujud kat dalam kampung kita ni pun sebab ehsan dari arwah ayah saya jugak. Kiranya, perhentian bas ni pun atas nama saya jugak!” Cukup lembut Tengku Shariedan memperdebatkan tentang ‘hak’ perhentian bas tersebut, namun bisanya terasa amat pedih di telinga Mak Yam. Mak Yam benar-benar rasa terhina. Dia ingatkan selepas dirinya dihalau keluar dari rumah buruk itu, dia sudah tidak berhutang apa-apa lagi dengan Tengku Shariedan. Tak sangka pula, dalam dia tidak sedar, dia sebenarnya masih ‘bergantung’ pada manusia yang paling dibencinya itu.
Sambil mendongkol marah, siap menyumpah-seranah di dalam hati, Mak Yam cepat-cepat mengangkat tubuh gempalnya itu. Cepat-cepat juga dia menolak kerusi roda yang menampung tubuh suaminya. Tidak sanggup rasanya untuk berlama-lama di situ kerana sudah tidak tertanggung rasa meluatnya terhadap Tengku Shariedan.
“Haihhh..nak ke mana pulak tu Mak Yam? Mak Yam jangan lupa, kerusi roda yang Mak Yam guna untuk sorong suami kesayangan Mak Yam tu pun bukan hak Mak Yam tau. Kerusi roda tu pun salah satu harta kepunyaan saya juga!” Tengku Shariedan masih ingin mengenakan ibu mertuanya itu.
Kali ini, Mak Yam betul-betul terbakar mendengarkan sindiran Tengku Shariedan yang cukup sinis itu. Terus merah padam wajah Mak Yam yang putih melepak itu. Malunya dia usah dicerita. Sekali lagi dia telah menjatuhkan maruahnya sendiri di hadapan manusia yang paling dibencinya itu. Mahu sahaja dia menangis di situ juga mengenangkan nasibnya yang bagaikan sudah jatuh, tersungkur pula di atas rimbunan daun semalu. Tapi, sampai bila pula dia mahu dirinya berterusan diketawakan oleh lelaki jahanam itu? Atau apakah sampai bila-bila pun dia sebenarnya perlu bergantung pada harta benda dan segala hak yang menjadi kepunyaan menantunya itu?
Mak Yam benar-benar buntu ketika ini. Dia sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa lagi.
“Ikut saya!” Cukup mudah arahan yang dikeluarkan oleh Tengku Shariedan. Dia sudahpun memusingkan badannya, membelakangkan Mak Yam.
“Ikut kau ke mana pulak?” tempelak Mak Yam dengan rasa tidak puas hati. Huh! Setan sekor ni memang kerjanya menyusahkan dan menyakitkan hati aku aje lah! Nasib baik laki aku ni tengah duduk kat kerusi roda ni. Kalau tak, mahu aje aku sorong kerusi roda ni laju-laju, biar tersodok punggung si setan tu! bentak Mak Yam di dalam hati.
“Ikut ajelah, jangan banyak tanya. Itupun kalau Mak Yam tak nak saya rampas kerusi roda tu. Takkanlah Mak Yam sanggup nak dukung suami Mak Yam tu kan? Nak dukung badan sendiri pun termengah-mengah.” ejek Tengku Shariedan, sambil berusaha menahan dirinya daripada ketawa berdekah-dekah.
 ‘Huh! Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku, Tengku Shariedan! Dalam keadaan kami yang teruk macam ni pun, kau masih nak porak-perandakan hidup kami! Dasar binatang!’ Mak Yam menyumpah-nyumpah di dalam hati. Namun, melihat Tengku Shariedan sudahpun melangkah beberapa tapak ke hadapan, terpaksa juga Mak Yam mengekori menantunya itu dari belakang.
“Ni kenapa pulak ni kau bawa kami ke mari?”
Mak Yam kelihatan terpinga-pinga sebaik sahaja Tengku Shariedan ‘membelok’ masuk ke dalam pagar kawasan perumahan arwah Tengku Hatta. Baru tadi dia dihalau oleh menantunya itu sendiri. Sekarang, buat apa pula Tengku Shariedan bawa dia masuk semula ke situ. Dah hilang ingatan apa budak ni?
“Mak…” Lembut sekali bicara Tengku Shariedan. Sampaikan boleh terbeliak biji mata Mak Yam yang mendengarnya. Tentunya orang tua ini tidak percaya. Ada hati kau nak panggil aku ni ‘mak’? Kau ingat aku ni mak syaitan ke apa?
Makin membuntang biji mata Mak Yam apabila tiba-tiba sahaja Tengku Shariedan mencapai kedua-dua belah tangannya. Menggigil tubuh gempal Mak Yam itu apabila kedua-dua belah telapak tangannya diramas-ramas oleh Tengku Shariedan.
“Mak.. Sudi tak kalau mak dengan ayah tinggal dengan saya kat dalam banglo ni?”
Kali ini, Mak Yam terasa seperti hendak pengsan. Rasa seperti bermimpi di siang hari pun ada.
Sementara Tengku Shariedan yang sedang merenung lembut ke wajah Mak Yam, tersenyum melihat reaksi ibu mertuanya itu. Sambil mengeratkan lagi tangan yang menggenggam telapak tangan ibu mertuanya itu, dia merenung wajah tua itu dengan mata yang mula bergenang dengan kepingan-kepingan kaca.
“Saya dah banyak sakitkan hati mak. Berpuluh-puluh tahun saya biarkan emak hidup menderita. Disebabkan hati saya yang busuk ni, mak terpaksa menanggung kesakitannya, juga menanggung sakit rindu pada satu-satunya anak emak. Kejamnya saya ni kan mak kerana menyimpan perasaan bangga setelah saya berjaya pisahkan mak dengan anak kesayangan emak. Waktu tu, hati saya bersorak. Hati saya puas sebab waktu tu saya rasakan diri saya lah yang paling hebat.
Tak cukup dengan semua tu, saya datang semula ke dalam hidup mak dan sekali lagi saya porak-perandakan keluarga mak. Saya dah hancurkan hidup mak dan saya juga dah hancurkan satu-satunya harta kesayangan mak iaitu anak kandung mak sendiri. Maafkan saya, mak. Maafkan saya. Walaupun perkataan maaf itu takkan dapat mengubah apa-apa, dan walau nyawa saya sendiri digadaikan sekalipun, tetap takkan dapat mengembalikan segala yang telah hilang dari genggaman tangan emak. Tapi,saya tetap mengharapkan keampunan daripada mak. Maafkan saya, mak. Sudilah maafkan saya, mak…” Tengku Shariedan terus memeluk tubuh Mak Yam. Mak Yam yang masih terkejut langsung tidak berganjak dan berbuat apa-apa. Dia membiarkan sahaja. Namun, dahinya masih berkerut-kerut dengan rasa tidak percaya.
“Kenapa dengan kau ni hah? Kau dah buang tabiat ke apa?” Meluncur juga pertanyaan itu dari mulut Mak Yam. Dah memang itu yang dia rasa. Kalaulah orang lain di tempat Mak Yam, tentu soalan yang sama juga akan diajukan. Iyalah, takkanlah semudah itu untuk Mak Yam menerima perubahan Tengku Shariedan? Kalau berubah menjadi lebih jahat dan lebih kejam, bolehlah Mak Yam percaya!
Tengku Shariedan meleraikan pelukan pada tubuh Mak Yam. Dia langsung tidak terusik dengan kata-kata Mak Yam. Sebaliknya, dia tersenyum lucu. Iyalah, dia sendiri pun tidak percaya yang suatu hari nanti, dia akan keluar daripada sifatnya yang jauh lebih jijik daripada bangkai yang meloyakan itu.
Tiba-tiba, kedengaran pintu utama banglo mewah arwah Tengku Hatta dibuka seseorang. Muncul Umi Zafwa dari arah belakang. Tanpa teragak-agak, Umi Zafwa terus memeluk pinggang Tengku Shariedan. Diusap-usap sekali pinggang suaminya itu.
“Mak… yakinlah mak yang semua manusia boleh berubah. Termasuklah suami kesayangan Umi ni. Dia memang betul-betul dah insaf mak. Kalau tak, Umi pun tak berani nak peluk suami Umi ni mak. Betul tak, bang?” usik Umi Zafwa sambil menjeling Tengku Shariedan manja. Tengku Shariedan yang geram dengan usikan Umi Zafwa, terus ‘menerkam’ pipi isterinya itu. Sempat juga dia mengucup pipi putih jernih itu sekali dua. Merungut-rungut Umi Zafwa sewaktu cuba melarikan diri.
Waktu itu, barulah pudar kerut-kerut pada dahi Mak Yam. Baru sekarang dia percaya yang Tengku Shariedan memang betul-betul sudah berubah. Mungkin terlalu awal baginya untuk membuat kesimpulan. Tapi hatinya cukup yakin, bahkan dari dulu lagi dia percaya yang Tengku Shariedan akan jatuh cinta jua dengan anak kandungnya itu. Dia sendiri sebagai seorang ibu, tidak terlawan kesabaran dan ketabahan yang dimiliki oleh Umi Zafwa. Baginya, kesabaran Umi Zafwalah yang berjaya merebahkan ego Tengku Shariedan yang tingginya melangkau langit yang bertingkat-tingkat itu.
“Jadi, apa keputusan mak sekarang? Mak berani tak tinggal dengan Umi kat dalam rumah ni? Berani tak tinggal dengan suami Umi yang garang ni?”
Sebak sungguh hati si ibu melihatkan senyuman girang pada bibir anaknya itu. Rasa-rasanya, belum pernah dia melihat Umi Zafwa sebahagia itu.
Dalam rasa terharu itu, sedaya upaya Mak Yam cuba menyembunyikan senyumannya. Kalaulah hanya dia seorang yang ada di situ, tentu dia akan tersenyum selebar-lebarnya. Tentu juga dia akan mengalirkan air mata gembira melihatkan kebahagiaan anak kesayangannya itu. Dia tahu, bukan mudah untuk Umi Zafwa memenangi hati Tengku Shariedan. Walaupun berkali-kali dipaksa supaya melupakan lelaki itu, Umi Zafwa tetap tidak mahu mengalah. Dia tetap ingin menakluk sekeping hati dingin kepunyaan suaminya itu. Lebih 20 tahun Umi Zafwa menanti dan akhirnya, penantiannya ternyata tidak sia-sia. Tetapi berbaloikah pengorbanan itu hanya semata-mata untuk lelaki ‘setaraf’ Tengku Shariedan?
“Cepatlah mak. Buat keputusan sekarang juga. Lepas ni, bolehlah Umi tolong bawa barang-barang mak dan ayah pindah ke sini,” desak Umi Zafwa yang kelihatan sangat teruja waktu itu. Berseri-seri wajahnya. Apatah lagi apabila Tengku Shariedan yang sudah beralih ke belakang tubuh isterinya itu, sedari tadi tidak lepas tangannya daripada menguis-nguis pipi isterinya itu. Spontan, Umi Zafwa menyandarkan belakang kepalanya pada dada Tengku Shariedan.
Mak Yam yang melihatnya cuma membalasnya dengan senyuman nipis, sambil menggeleng perlahan-lahan.
“Penuhkan dulu rumah tu dgn haruman cinta. Bila dah semerbak baunya, barulah mak dengan ayah akan masuk ke dalam syurga kalian berdua…” tutur Mak Yam. Dan dia tersenyum dengan kata-katanya sendiri, begitu juga dengan Pak Dahrim. Pasangan suami isteri itu saling berpandangan dalam senyuman masing-masing. Sementara Tengku Shariedan pula tergelak besar mendengarkan kata-kata puitis yang diucapkan oleh Mak Yam sebentar tadi.
“Yang abang ni suka sangat kenapa pulak?” Umi Zafwa pura-pura marah. Sedangkan wajahnya waktu itu sudah merah menahan rasa malu. Sempat dia mencubit manja perut suaminya itu.
“Tak ada apa-apa. Cuma, abang teringat yang tadi Umi ada cakap Umi tak suka ayat puitis yang jiwang-jiwang karat ni kan? Tak tahu pulak abang yang mak Umi lagi hebat dari abang.”
Umi Zafwa mencebikkan bibirnya. Seronok pula Tengku Shariedan dapat mengusik isterinya itu.
“Abang jangan nak samakan mak dengan abang ya. Walau mak jiwang-jiwang karat sekalipun, cinta dan kasih sayang mak pada abah tak pernah berkarat tau!” Kata-kata itu bukanlah ingin menghina Tengku Shariedan, tetapi lebih kepada ingin mencabar sehebat mana suaminya itu mampu mencintainya.
Tengku Shariedan terus mencuit dagu Umi Zafwa dengan lembut, sebelum didongakkan sedikit ke atas. Supaya pandangan mereka saling bersatu, sama seperti sepasang hati dan perasaan yang menjadi milik mereka. Saat itu, Mak Yam cepat-cepat menyorong Pak Dahrim untuk meninggalkan pasangan yang sedang bercinta itu. Sengaja nak kasi peluang!
“Sayang… sebab tu lah abang cuba belajar untuk jadi romantic, cuba jadi jiwang-jiwang macam mak. Abang nak jadikan kata-kata puitis itu sebagai hadiah paling mahal yang keluar dari mulut abang selain doa abang untuk sayang. Kerana hanya sayang abang saja yang layak untuk dapat semua tu dari abang…” Tengku Shariedan berbisik lembut sambil mengeratkan lagi pelukannya. Sudah menjadi kegemarannya, dia akan mengucup ubun-ubun Umi Zafwa bertubi-tubi.
Umi Zafwa yang malu berdua-duaan begitu, cuba untuk menolak tubuh suaminya itu namun malang sekali, tangan sasa Tengku Shariedan langsung tidak memberikan peluang. 
Kali ini, bukan mata dan hati mereka sahaja yang bersatu, malah tubuh mereka juga bersatu hinggakan degupan jantung masing-masing turut bersatu mendendangkan lagu yang satu; Lagu yang serupa melodi dan iramanya…
42
 










MALAM itu, Umi Zafwa meminta izin daripada Tengku Shariedan untuk ke rumah Pieka. Dia mahu mengambil semua barang kepunyaannya di situ. Dan kalau boleh, dia juga ingin menyimpan beberapa barang kepunyaan Pieka untuk dijadikan kenangan walaupun sehingga ke saat ini, kedua ibu-bapa Pieka masih melayannya dengan begitu dingin sekali. Dia masih dipersalahkan atas kematian Pieka. Terdera emosi Umi Zafwa mengingatkannya. Namun, tidak terdetik di hatinya untuk menyalahkan mereka kerana dia turut menyalahkan dirinya sendiri walaupun dia cukup sedar, ajal dan maut di luar bidang kuasanya.
Pada awalnya, Tengku Shariedan ingin mengikut sama dan menemaninya. Namun, setelah bermacam-macam alasan yang diberikan, Tengku Shariedan terpaksa mengalah dan akhirnya, Umi Zafwa hanya berseorangan diri dengan menaiki teksi menuju ke sana.
Dengan kunci pendua yang masih berada di dalam simpanannya, Umi Zafwa masuk ke dalam rumah yang gelap-gelita keadaannya itu. Tidak seperti selalu, rumah teres yang terletak di lot tepi itu sentiasa terpasang dengan lampu. Hati Umi Zafwa terasa sebak tiba-tiba. Dia bukan sahaja kehilangan Pieka, tapi Tom pula hilang entah ke mana. Seingatnya, kali terakhir dia menjenguk rumah ini pun, dia masih belum berkesempatan berjumpa dengan Tom. Ke mana Tom menghilangkan diri sebenarnya? Ataupun ada sesuatu yang aku tak tahu?
Umi Zafwa terus bergesa menuju ke tingkat atas dengan mata yang bergenang. Terasa luluh hatinya sebaik terpandangkan segenap ruang di dalam rumah teres yang telah banyak menyimpan kenangan antara mereka bertiga. Sampaikan dia terpaksa buat-buat tidak nampak. Dia sengaja memejamkan matanya daripada melihat semua itu. Kerana bila dibuka, dengan sendirinya dia akan ternampak kelibat tiga orang sahabat yang bergurau senda, bergelak tawa sehingga langsung tidak mempedulikan keadaan di sekeliling mereka.
‘Ya ALLAH, rindunya aku pada mereka semua. Kalaulah aku dapat undurkan masa, aku rela dipenjarakan sekali lagi. Asalkan aku diberikan peluang untuk melalui semula kenangan-kenangan yang tidak tergambar keindahannya itu...’
Masuk sahaja ke dalam bilik, Umi Zafwa cepat-cepat mengemas apa yang patut. Dengan sepantas mungkin, dia menyelongkar semua pakaiannya dari dalam almari. Gesa-gesa dia memasukkan kesemuanya ke dalam beg. Dia kelihatan cemas, dan berasa tidak sedap hati. Dia seperti takutkan sesuatu. Tapi, sewaktu kedengaran engsel pintu yang berbunyi nyaring barangkali berpunca daripada angin yang menghempas ke dada pintu, tidak pula dia berpaling. Sebaliknya, dia terus leka mengemas pakaiannya. Sedikit pun dia tidak menghiraukannya. Yang menjadi kerisauannya, dia ingin lekas pulang ke rumah, sekaligus membina semula kehidupan barunya bersama suami tercinta. Dan kalau boleh, dia ingin menoktahkan segala kenangan yang pernah wujud di dalam rumah teres ini!
Umi Zafwa sudah siap mengemas. Namun, baru sahaja dia meluruskan badannya, dia dapat merasakan tubuhnya dipeluk seseorang dengan kuat dari arah belakang. Terjerit Umi Zafwa dibuatnya. Terkejutnya dia bukan kepalang. Sampaikan dalam sekelip mata saja tubuhnya berpeluh-peluh. Namun, perasaan cemas dan terkejut itu terus bertukar menjadi berang apabila kali ini, bahagian dadanya pula yang menjadi sasaran. Dengan jelas, Umi Zafwa dapat mendengar nafas ghairah yang hinggap ke cuping telinganya. Dasar jantan sial!
Umi Zafwa cuba untuk menjerit lagi. Malangnya, tidak sempat. Mulutnya telah ditekup sebelum tubuhnya pula ditolak dengan kuat sehingga menyebabkan dia terdorong dan terhumban jatuh ke atas katil.
Sambil menyeringai menahan sakit, dalam keadaan tubuhnya yang tertiarap itu, Umi Zafwa terus memusingkan badannya. Hatinya mendesak-desak menyuruh matanya melihat siapakah gerangan syaitan yang bertopengkan manusia itu!
“Tom..?”  Berderau darahnya sebaik terpandangkan wajah sahabatnya yang seorang itu. Walaupun Tom sudah kembali dengan imej rambut pendeknya, masakan mungkin semudah itu untuk dia melupakan wajah tembam hitam-hitam manis itu.
Perasaan cemas dan terkejut yang menggeletarkan seluruh tubuhnya hanya ‘berani’ bertandang buat seketika sahaja apabila perasaan sebak mula mengambil alih. Menggigil-gigil tubuhnya apabila perasaan sayu dan terkilan itu terasa seperti merodok-rodok menyeksa hati dan perasaannya. Sampaikan dia langsung tidak sedar, yang dalam sesaat sahaja pipinya sudah basah lencun ‘dibakar’ air matanya sendiri. Dia masih tidak percaya namun pada masa yang sama, dia tetap terkilan atas perbuatan sahabat baiknya itu. Tergamak Tom ‘menghinanya’dengan cara begitu!
Terhenjut-henjut bahu Umi Zafwa. Dia masih gagal untuk menenangkan perasaannya sendiri. Apatah lagi mengenangkan diri Tom yang sudah berubah dan kembali menjadi dirinya yang jahil sebagaimana berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Hati yang sudah sedia hancur, disiat-siat halus pula sebaik sahaja dia terpandangkan tattoo yang bermotifkan tengkorak pada lengan sahabatnya itu. Umi Zafwa menggeleng-gelengkan kepalanya.
Tom benar-benar sudah berubah dan kembali menjadi seorang pengkid. Lihatlah…. Dengan singlet putih dan seluar gedoboh yang menyarung tubuhnya, Tom tidak ubah kelihatan seperti seorang gangster, tak pun kaki pukul. Wajah Tom juga kelihatan pucat, dengan bibir dan keliling matanya yang kelihatan hitam dan gelap.
Umi Zafwa segera menekup mukanya dek kerana tidak sanggup untuk terus memandang wajah sahabat kesayangannya itu. Lama dia menundukkan kepalanya yang dijatuhkan pada kedua belah lututnya yang saling dilagakan itu. Waktu itu, dia tidak hiraukan apa-apa lagi. Dia langsung tidak hiraukan Tom. Dia hanya melayan dan terus mendengar tangisan dan sedu-sedannya sendiri. Dia bagaikan terlupa kewujudan Tom di dalam bilik tersebut sehinggalah pinggangnya dirangkul dengan tiba-tiba. Tersentak dia dibuatnya. Namun, mujurlah waktu itu Tom masih dalam keadaan lemah dan mabuk.
Hanya dengan satu tendangan yang tidak sekuat mana, Tom terus tergolek jatuh ke tepi katil.
“Tom, apa yang kau cuba buat ni, Tom? Sampai hati kau buat aku macam ni. Bukan ke dulu kau dah berjanji nak jaga aku, nak lindungi aku? Bukan ke kau anggap aku macam adik kau sendiri? Tapi sekarang, kenapa kau tergamak perkosa adik kau sendiri, Tom? Mana janji-janji kau Tom?” rintih Umi Zafwa sambil mengongoi geram. Bukan kerana bengang dengan tindakan Tom, sebaliknya dia terkilan. Terkilan mengenangkan sahabatnya sendiri yang tergamak menghancurkan maruahnya. Tom memang dah gila!
“Aku baru saja kehilangan seorang sahabat yang sangat baik, Tom. Dan janganlah kau tergamak untuk musnahkan persahabatan kita. Aku taknak kehilangan kau Tom. Kalau apa-apa jadi pada aku nanti, kalau suami aku sekali lagi buang aku dari hidup dia, siapa lagi yang aku boleh harapkan selain kau? Aku hanya mampu bergantung pada kau dan janji-janji yang kau dah lafazkan pada aku Tom, juga pada arwah Pieka!” luah Umi Zafwa sambil meramas-ramas cadar katil dengan sekuat hati. Begitulah juga hatinya. Terasa seperti diramas-ramas sehingga remuk.
Walaupun Tom masih terbaring di celah katil, Umi Zafwa yakin. Tom tetap dapat mendengar kekecewaan hatinya.
“Jangan kau persoalkan janji-janji aku Umi bila mana kau sendiri dah mungkiri janji kita. Kau pernah cakap, susah senang kita bersama. Tapi sekarang, mana janji-janji kau tu? Mana kau menghilang? Kau pergi tinggalkan aku macam tu aje. Kau langsung tak fikirkan perasaan aku. Kau langsung tak pernah nak ambil tahu!”
 “Lepas kau tinggalkan aku, semuanya berubah dalam sekelip mata, Umi. Sebabnya, kau sebenarnya bukan saja tinggalkan rumah ni, tapi kau heret sekali semua kekuatan aku. Aku kecewa, Umi. Aku teramat kecewa. Aku dah hilang tempat untuk bergantung kerana selama ini pun, aku kuat sebab aku tahu aku ada sahabat yang sangat baik seperti kau. Sahabat yang akan selalu bangunkan aku setiap kali aku jatuh. Bila kau dah tinggalkan aku, aku tahu, aku akan jatuh sampai bila-bila…”
Tom yang berlutut di tepi katil seboleh mungkin cuba menggagahkan dirinya untuk bangun. Malangnya, tubuhnya masih terlalu lemah. Akibat gagal seimbangkan badannya, dia terus jatuh terduduk. Tenaganya sudah habis. Sudah berpuluh tahun dia tidak meneguk minuman syaitan itu, memang dia sudah tidak biasa dengan keadaan begitu. Tapi tadi, dia tewas. Tewas hanya kerana tekanan hidupnya. Tewas kerana dia bukan sahaja telah kehilangan Pieka, tapi dia juga telah ‘kehilangan’ Umi Zafwa. Dia yang telah dibuang keluarga, yang sudah tidak mempunyai sesiapa lagi di dunia ini, juga telah musnah masa depannya…
“Sampai bila kau nak bergantung harap pada aku, Tom? Sampai bila kau nak aku berdiri sebelah kau? Aku bukan sengaja tinggalkan kau, Tom. Aku terpaksa demi suami dan anak aku. Kalaulah aku seorang isteri yang jahil, aku akan tinggalkan suami aku demi kau, Tom. Dan kalaulah aku seorang ibu yang hanya tahu melahirkan, aku akan terus berada di sisi kau sampai bila-bila, Tom. Malangnya, aku adalah seorang isteri, dan juga seorang ibu yang punya tanggungjawabnya sendiri, Tom… Kenapa kau tak pernah nak faham aku, Tom? Kenapa? Kenapa kau perlu musnahkan hidup kau hanya semata-mata kerana aku? Bukan aku yang tentukan hidup kau Tom. Bukan aku! Tapi semuanya terletak pada diri kau sendiri. Kau kena ingat tu!” tegas Umi Zafwa membela dirinya daripada berterusan dipersalahkan oleh sahabatnya itu. Sedikit pun dia tidak rasa bersalah kerana baginya, Tom yang sengaja mengundang padah.
Tom kelihatan mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali sambil menitiskan air matanya. Sesekali, Tom gelengkan kepalanya seperti kesalkan sesuatu. Inilah pertama kalinya Umi Zafwa melihat Tom menangis. Sebak pula hatinya tiba-tiba. Namun, untuk memujuk Tom, tidak sama sekali. Baginya, Tom perlu diajar!
Lantas, tanpa teragak-agak, dan tanpa perasaan, Umi Zafwa terus bangkit dari katil tersebut. Dicapainya beg pakaiannya yang lusuh itu sebelum dia bergerak untuk meninggalkan Tom. Boleh jadi, buat selama-lamanya. Apatah lagi, hatinya seperti sudah membenci sahabat baiknya itu. Sahabat yang sanggup memiliki sepasang niat untuk memperkosanya.
“Maafkan aku, Umi. Maafkan aku… Memang aku yang bersalah. Memang aku yang bersalah, Umi. Kalaulah dari awal lagi aku ingatkan diri aku sendiri yang kau takkan mampu untuk berada di samping aku untuk selama-lamanya, sudah tentu aku tak akan ambil risiko untuk berkawan dengan kau. Aku lebih rela hidup sendirian daripada dikecewakan macam ni. Tapi aku ni bodoh. Aku lupa. Aku tak pernah nak ingatkan diri aku sendiri yang aku sebenarnya langsung tak layak untuk berkawan dengan kau. Aku selalu berangan yang kita akan tetap berkawan sampai bila-bila pun. Tapi aku silap. Aku lupa. Aku lupa yang keluarga aku sendiri pernah buang aku dari hidup mereka. Apatah lagi kau yang langsung tak ada pertalian darah dengan aku…”
Sebenarnya, Tom ingin meluahkan lagi rasa hatinya, namun kerana terlalu sebak, apatah lagi dengan badannya yang semakin lembik, dia terus jatuh terlentang semula ke atas lantai.
Tersentak Umi Zafwa dibuatnya, menyebabkan langkahnya mati serta-merta. Sayangnya, egonya sendiri telah melarangnya untuk berpaling walaupun ketika itu nalurinya melonjak-lonjak ingin memeluk tubuh Tom. Hatinya pula mendesak-desak menyuruhnya memujuk dan meminta maaf daripada sahabatnya yang seorang itu. Namun, entah mengapa, dia terus membekukan diri. Hanya air matanya sahaja yang cair, dan terus mengalir.
Dua pilihan yang ada di genggamannya. Namun, Umi Zafwa seperti lebih ‘tergamak’ memilih untuk memutuskan terus persahabatan mereka. Walaupun mulut tidak menyebut apa-apa, namun kaki yang melangkah tanpa sebarang bicara dan kata putus itu sudah menjelaskan segala-galanya…



DENGAN hati yang kecewa, juga perasaan yang bersalah terhadap Tom, Umi Zafwa gesa-gesa dan kelihatan begitu kelam-kabut sekali sewaktu memijak anak-anak tangga menuju ke bilik utama banglo arwah bapa mentuanya itu.
Dia sudah tidak sabar-sabar lagi ingin meluahkan segala kekesalannya itu pada Tengku Shariedan. Dan kalau boleh, dia ingin merebahkan tubuhnya ke dalam pelukan suaminya itu, biar reda segala kekusutan yang mengikat jiwanya.
Sebaik sahaja pintu bilik ditolak dari luar, Umi Zafwa terus meluru masuk. Lega hatinya melihat Tengku Shariedan sedang berdiri tidak jauh di hadapannya. Lantas, tanpa teragak-agak, dia terus berlari-lari kecil ke arah suaminya itu dengan linangan air mata yang masih mengalir tidak jemu-jemu.
Sewaktu dia hampir sahaja memeluk tubuh Tengku Shariedan itu, barulah dia tersedar. Lalu, cepat-cepat dia menarik tangannya yang sudah hampir separuh merangkul pinggang lelaki itu. Lekas-lekas dia menginjak beberapa langkah ke belakang dengan kepala yang ditundukkan. Baru dia perasan yang Tengku Shariedan ketika itu cuma bertuala. Aduh! Macam manalah aku boleh tak nampak otot-ototnya yang berkilat-kilat itu? Aduh buat malu aje. Kang dia fikir aku ni dah gatal sangat. Padahal belum cukup sehari aku berbaik-baik dengannya. Kalau setakat nak bermanja-manja tu, bolehlah dimaafkan lagi.
Tengku Shariedan tersenyum nakal melihatkan wajah isterinya yang kemerah-merahan itu. Hatinya ingin mengusik, tapi bimbang pula kalau-kalau rasa malu isterinya itu melarat hingga berhari-hari.
 “Kenapa ni, sayang? Mari sini kat abang. Risau abang tengok Umi. Sembap aje muka sayang tu,” Tengku Shariedan cuba mengusir rasa malu isterinya itu. 
“Umi menangis ya? Abang ada buat salah pada Umi ke? Kalau ada, marilah sini dekat dengan abang. Abang nak dengar cerita Umi…” pujuk Tengk Syahidan tidak ubah seperti memujuk kanak-kanak kecil.
Melihatkan Umi Zafwa langsung tidak memberikan sebarang reaksi, Tengku Shariedan terus merapati tubuh isterinya itu. Dagu Umi Zafwa dicuit manja sebelum didongakkan sedikit ke atas.
Umi Zafwa masih memejamkan matanya serapat mungkin. Dia masih malu dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Apatah lagi apabila dia merasakan tangan Tengku Shariedan sedang menjalar di pangkal lehernya, sebelum merayau pula hingga ke pipinya. Makin menggigil tubuhnya sewaktu pipi kanannya diusap-usap oleh tangan lelaki itu.
Akhirnya, Umi Zafwa memberanikan juga dirinya untuk membuka matanya. Berderau darahnya sebaik terpandangkan senyuman mesra pada wajah Tengku Shariedan. Sebolehnya, dia ingin lari dari bilik yang mula merimaskan itu. Dia terasa sangat panas dan berbahang sampaikan basah lencun seluruh tubuhnya. Namun, apabila Tengku Shariedan sudah merangkul pinggangnya dengan erat, dia tahu dia sudah tidak ‘selamat’.
Pinggangnya dielus-elus dengan manja, membuatkan dia seperti terleka dan khusyuk dengan belaian itu. Akhirnya, dia memejamkan semula matanya. Dan apabila bibirnya pula yang menjadi mangsa, dia memejamkan kelopak matanya dengan lebih rapat, sehingga berkerut-kerut dahinya. Seram sejuk tubuhnya apabila jari telunjuk Tengku Shariedan tidak henti-henti bermain di bibirnya.
Tidak lama selepas itu, Tengku Shariedan tidak lagi bermain-main dengan bibirnya. Namun, Umi Zafwa masih memejam matanya rapat-rapat. Sungguhpun begitu, telinganya masih dapat mendengar dengan jelas desahan nafas Tengku Shariedan yang kedengaran ghairah di tepi cuping telinganya.
Kali ini, Umi Zafwa gagal mengawal debaran di dadanya. Dia seperti ingin menjerit sewaktu merasakan bibirnya sedang cuba dicumbui oleh suaminya sendiri. Mujurlah dia tidak menjerit memandangkan bibirnya sudah ‘dilepaskan’ dengan tiba-tiba daripada menjadi mangsa ratahan bibir Tengku Shariedan.
Pelik!
Lantas, perlahan-lahan Umi Zafwa membuka kelopak matanya. Elok matanya dibuka dengan luas, dia mendapati Tengku Shariedan sudah lesap. Lelaki itu sudah tidak lagi berdiri di hadapannya. Ke mana pula Tengku Shariedan pergi? Atau dia sebenarnya sedang bermimpi?
Dengan teragak-agak, Umi Zafwa merapati pintu bilik mandi yang terletak di hujung sudut bilik. Nalurinya kuat mengatakan Tengku Shariedan berada di dalam situ memandangkan sekejap tadi, pintu bilik tersebut tidak tertutup. Tapi, kali ini sudah tertutup rapat.
Tiada suara yang kedengaran, walau suara air pacuran yang menghempas ke lantai sekalipun tidak dapat didengarnya sewaktu dia menekupkan telinganya ke dada pintu. Namun, Umi Zafwa memberanikan juga dirinya untuk memulas tombol pintu di hadapannya. Terketar-ketar tangannya sewaktu menolak pintu tersebut. Akibatnya, pintu tersebut hanya renggang sedikit sahaja. Dia masih tidak dapat melihat apa-apa.
Umi Zafwa cuba mententeramkan dirinya sendiri. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Berkali-kali dia melakukannya sebelum dia sekali lagi memberanikan dirinya untuk menolak pintu di hadapannya itu.
Belum sempat tangannya menolak, tiba-tiba pintu di hadapannya terbuka dengan luas hanya dalam sekelip mata!
Berderau darah Umi Zafwa dibuatnya. Mujurlah dia masih sempat beristighfar. Itu tandanya dia masih mampu mengawal rasa terkejutnya itu walaupun tubuhnya sudah menggigil seram sejuk.
Baru dia ingin menenangkan perasaannya sendiri, sekali lagi jantungnya terasa seperti hendak gugur sewaktu tubuh kecilnya itu tiba-tiba melayang ke udara. Menjerit-jerit Umi Zafwa minta dilepaskan. Malang sekali, Tengku Shariedan sikit pun tidak hiraukannya. Buat habis suara aje dia menjerit beriya-iya!
Sewaktu Tengku Shariedan mengendong tubuhnya, Umi Zafwa sedikit pun tidak berani untuk membuka matanya. Sampaikan dia boleh tidak sedar yang dia sekarang ini, sedang berbaring di atas tubuh sasa suaminya. Namun, tidak pula dia cuba untuk melarikan dirinya daripada pelukan suaminya itu. Sebaliknya, dia terus merenung wajah Tengku Shariedan dengan pandangan pelik.
“Kenapa ni sayang pandang abang sampai macam tu sekali? Seksi sangat ke muka abang bila basah-basah macam ni?” Tengku Shariedan sengaja mengenyitkan sebelah matanya sambil meraup rambutnya yang basah itu ke belakang. Sehelai dua dibiarkan terjuntai ke hadapan. Handsome sungguh wajah lelaki yang seorang ini. Kekacakan yang terlalu luar biasa, yang jarang-jarang sekali dimiliki oleh lelaki lain. Maka, tidak hairanlah kalau dia pernah hanyut di dalam keseronokan dunia yang hanya sementara ini.
Sewaktu Tengku Shariedan mengeratkan lagi pelukannya pada pinggang isterinya, Umi Zafwa masih kelihatan leka merenung wajah tampan suaminya itu. Namun, bukanlah ketampanan itu yang ‘melalaikannya’. Cuma, adakalanya dia masih tidak percaya. Apa benarkah dia sememangnya tidak bermimpi? Benarkah lelaki yang memanjakan dirinya secara melebih-lebih ini, lelaki yang romaticnya tidak bertempat ini adalah suaminya yang pernah membencinya suatu ketika dulu?
 Umi Zafwa cepat-cepat beristighfar sebelum dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Baru dia sedar yang dia kini sedang berdua-duaan dengan Tengku Shariedan di dalam tab mandi yang agak sempit untuk memuatkan tubuhnya dengan suaminya itu. Sampaikan mereka terpaksa berhimpit-himpit.
‘Sudahlah tu, Umi... Apa lagi yang kau sibuk fikirkan tu? Bangunlah... Sedarlah dari lena kau tu dan percayalah yang semua ini bukan mimpi lagi dah. Kau dah berjaya dapatkan semua yang kau mahukan, Umi. Suami kau dah berubah dan dia dah bersedia untuk bahagiakan kau. Apa lagi yang kau mahukan?’ bisik satu suara yang menampar keras di tepi telinganya.
“Umi tak selesa ya abang buat macam ni? Hurmm?” soal Tengku Shariedan lembut sambil sebelah tangannya menguis-nguis pipi isterinya yang putih gebu itu. Sehingga pipi itu bertukar merah, barulah puas hatinya. Nakal sungguh... Tak habis-habis. Kerjanya tahu nak menyakat aje!
“Kalau Umi tak selesa sekalipun, apalah yang Umi boleh buat. Umi kan dah berjanji nak sehidup semati dengan abang. Jadi, terpaksalah Umi terima seadanya suami Umi yang suka sangat buat kerja gila ni.”
Tengku Shariedan tersenyum. Umi Zafwa sentiasa membuatkan hatinya terharu. Jawapan yang keluar dari bibir comel itu tidak pernah sekali pun membuatkan dia berkecil hati.
“Kalau macam tu, Umi pun kenalah buat kerja gila juga. Barulah sehati sejiwa namanya...” Tengku Shariedan tersenyum nakal.
“Abang nak Umi buat apa?”
Sebenarnya, dia tidak perlu bertanya. Melihat pada senyuman Tengku Shariedan yang cukup tersirat dan penuh makna tersembunyi itu sahaja dia sudah dapat mengagaknya! Ni tak lain tak bukan, nak kenakan aku lagilah ni. Hurmmm... Layankan ajelah. Nak buat macam mana... Nasib badanlah dapat suami yang ‘beraninya’ tak bertempat macam Tengku Shariedan ni. Semua benda pelik dia nak cuba!
Kan betul apa yang dia agak. Belum apa-apa lagi, tubuhnya sudah ditarik menjadi lebih rapat ke dalam tubuh suaminya itu. Habis basah baju kurungnya apabila badannya turut terendam ke dalam tab mandi yang sudah separuh penuh dengan air dan buih-buih sabun itu.
Nak tak nak, Umi Zafwa terpaksa juga berpaut pada leher Tengku Shariedan. Bimbang juga kalau seluruh badannya tenggelam di situ. Iyalah, kalau dah basah satu badan, terpaksa pula dia menukar pakaiannya di situ juga. Dibuatnya Tengku Shariedan buat keras kepalanya tak mahu keluar dari bilik mandi? Hah! Tak ke dia juga yang niaya?
 “Tolong mandikan abang boleh tak? Abang sebenarnya jealous masa tengok Umi mandikan ayah Umi. Teringin juga nak rasa tangan lembut saying abang ni sabunkan badan abang,” bisik Tengku Shariedan di tepi telinga Umi Zafwa. Nakal!
“Abang ni...” Umi Zafwa memuncungkan bibirnya. “Suka minta yang bukan-bukan tau. Abah tu kan sakit, dah uzur. Sebab itulah Umi kena mandikan abah tiap-tiap hari.” Dia cuba untuk fahamkan suaminya itu, dengan harapan agar Tengku Shariedan tidak lagi meminta yang bukan-bukan.
“Abang pun sakit juga. Tadi Umi baru aje cakap abang ni ‘gila’. Tu kira penyakit la jugak tu.” Tengku Shariedan tetap tidak mahu mengalah. Dia memang dah nekad. Umi Zafwa kena juga mandikannya!
“Abang ni, tak habis-habis nak mainkan Umi tau.” Umi Zafwa berpura-pura menarik muka masam.
“Ya ALLAH sayang... Abang tak main-mainlah. Takkanlah abang nak buat main soal syurga tu semua.”
“Maksud abang?” Berkerut-kerut dahi umi Zafwa sewaktu cuba mentafsir kata-kata Tengku Shariedan itu.
“Maksud abang, kalau ayah Umi dapat layanan macam tu daripada Umi, kenapa tidak abang kan? Abang pun berhak sebab syurga sayang kan kat telapak kaki abang...” Bijak sungguh Tengku Shariedan. Sengaja dia menggunakan haknya sebagai seorang suami untuk menjerat isterinya itu. Dia tahu, kalau bab-bab berkaitan dengan agama ni, tentu Umi Zafwa akan mengalah. Tengok sajalah nanti!
Tepat sekali!
Tanpa berlengah lagi, Umi Zafwa terus mencapai sabun botol dari atas kepala tab mandi. Dipicitnya botol sabun itu supaya isinya mencurah ke atas telapak tangannya. Wajahnya dimaniskan sehabis mungkin. Kalau boleh, biar apa sekalipun suruhan Tengku Shariedan, walaupun mungkin ada di antaranya yang dia tidak suka, dia tetap akan cuba untuk melakukannya dengan seikhlas mungkin.
Tengku Shariedan yang tersentuh dengan ketaatan isterinya itu terus menarik tubuh Umi Zafwa sehingga tubuh kecil itu rebah ke dada bidangnya. Tidak sanggup pula dia ‘mendera’ Umi Zafwa dengan cara begitu. Dia tahu, Umi Zafwa malu bila disuruh berbuat begitu. Aku ni pun satu! Tak boleh ke kalau aku ubah cara layanan aku pada Umi? Itulah, dah biasa sangat aku layan perempuan lebih-lebih. Inilah akibatnya. Romantic tak bertempat!
Umi Zafwa yang masih terpinga-pinga, juga masih tidak berkutik. Dia berdiam sahaja walaupun hatinya tertanya-tanya. Apa pula yang tak kena dengan suami aku ni? Atau dia dah ubah fikiran nak suruh aku syampookan rambut dia, gosokkan gigi dia, atau tolong cukurkan sekali jambang dan misai dia?
Dalam dia sedang memikir-mikir itu, dia langsung tak sedar sewaktu tubuhnya tiba-tiba tenggelam ke dalam air. Dia sedar pun bila kulitnya sudah tidak tertahan lagi digigit dengan air mandi yang tersangatlah sejuk dan dingin itu. Mujurlah waktu itu pelukan hangat Tengku Shariedan membahangkan sedikit tubuhnya daripada terus menggigil. Tapi tak lama selepas itu, dia menggigil lagi. Cuma kali ini, dia menggigil kerana takut. Ya, takut! Takut memikirkan kejutan demi kejutan yang bakal ‘dipersembahkan’ oleh Tengku Shariedan kepadanya nanti. Perangai ‘gila-gila’ suaminya itu bukannya boleh diduga!






“ABANG, bak lah sini tuala tu!” desak Umi Zafwa lagi.
Melihat senyuman nakal pada bibir Tengku Shariedan, dia tahu. Tak lain tak bukan, tentu Tengku Shariedan sedang memasang ‘agenda’ untuk mengenakannya lagi. Dari cara Tengku Shariedan yang merenung semacam ke arahnya pun, Umi Zafwa sudah dapat mengagak.
“Abang, abang keluarlah dulu. Tolong ambilkan pakaian Umi sekali tau. Biar Umi salin pakaian dulu. Lepas tu, barulah giliran abang pula.” Umi Zafwa cuba berlembut.
Sambil menanti jawapan daripada suaminya, dia meneliti riak pada wajah tampan suaminya yang kelihatan segar itu. Inilah pertama kalinya dia melihat wajah Tengku Shariedan selepas mandi. Bergetar juga hatinya walaupun dia cuba berlagak biasa. Ish.. yang aku pergi belek muka dia buat apa? Hurmmm... Tapi, mana boleh salahkan diri aku sendiri. Suami aku ni yang handsome sangat.
‘Hoi! Kawal sikit nafsu kau tu, Umi. Kau sepatutnya belek muka dia dengan pandangan yang curiga. Bukannya dengan pandangan yang bernafsu! Kau eliti betul-betul muka suami kau tu. Ada tak ciri-ciri muka yang ada niat nak kenakan kau lagi?
Umi Zafwa patuh pada suara hatinya. Matanya ditajamkan dan dia mula merenung wajah Tengku Shariedan siap berkerut-kerut dahinya. Pelik pula Tengku Shariedan melihat gelagat isterinya itu. Beriya-iya pulak Umi tengok muka aku? Dia tak pernah tengok muka orang lepas mandi ke?
“Abang, tolonglah ambilkan pakaian Umi...” Umi Zafwa sengaja merengek lagi. Dia betul-betul nak tahu kalau-kalau suaminya itu memang dah pasang plan nak kenakannya!
“Macam mana abang nak keluar. Badan abang kan basah.” Tengku Shariedan memberikan alasan.
Dia sengaja mengalihkan matanya dari wajah isterinya. Sengaja juga dia berpura-pura sibuk mengeringkan rambutnya tanpa menghiraukan imej Umi Zafwa yang terpantul pada biasan cermin, kelihatan sedang merenung tajam ke arahnya!
“Tu! Tuala tu kan ada. Keringkanlah badan tu dulu.”
Tengku Shariedan terus berhenti daripada mengeringkan rambutnya. Tuala yang berada di tangan disangkutkan ke leher. Dengan renungan mata yang paling menggoda, dia merapati tubuh Umi Zafwa yang sesaat sahaja sudah kelihatan resah gelisah dengan panahan matanya.
Sah! Dia memang nak kenakan aku lagi. Tunggu ajelah kejap lagi!
“Umi keringkan badan abang boleh?” bisik Tengku Shariedan dengan suara yang cukup romantis sekali. Betul-betul di tepi telinga Umi Zafwa!
Umi Zafwa yang seperti terkena penangan ubat guna-guna, bolehkan terlupa akan niat suaminya yang hakikatnya memang sengaja ingin mengenakannya!
Apatah lagi apabila Tengku Shariedan menarik tuala putih yang tergantung pada lehernya sebelum diunjukkan betul-betul ke hadapannya. Lengkap dengan senyuman yang menawan dan menggoda di bibir, sengaja Tengku Shariedan menambah lagi dengan mengenyitkan  pula matanya pada isterinya itu. Tidak keruan Umi Zafwa dibuatnya.
Umi Zafwa yang terkedu dengan muka yang merah padam seperti sudah tidak mampu untuk mengelak lagi. Kalau boleh, dia mahu semua itu berakhir dengan secepat mungkin.
Hari ni sahaja, Tengku Shariedan telah membuatkan mukanya tebal mengalahkan kulit badak!
Tidak selesa direnung hingga sebegitu sekali, Umi Zafwa segera menyambut tuala yang dihulurkan oleh Tengku Shariedan itu. Sekaligus dia cuba pekakkan telinganya daripada mendengar gelak tawa Tengku Shariedan yang melonjak-lonjak meraikan kemenangannya.
Makin dia cuba menyudahkan kerja mengelapnya itu dengan segera, makin menggigil dan terketar-ketar pula tangannya.  Dari pangkal leher Tengku Shariedan, dia cuba melakukannya sekali lagi dengan sepantas yang mungkin, sambil berusaha mengawal debaran di dadanya. Seboleh-bolehnya, dia mahu semua ini berakhir dan siap dengan segera. Malang sekali, sewaktu tangan yang menggenggam tuala itu turun ke lekuk dada bidang milik suaminya itu, Tengku Shariedan terus merentap pergelangan tangannya, menyebabkan tuala di genggamannya jatuh melorot ke atas lantai.
Boleh pula suaminya tergelak dengan kejadian itu. Sedangkan dia pula, hanya TUHAN saja yang tahu ada bencana alam yang sedang menghuru-harakan hatinya saat itu.
“Menggiurkan sangat ke dada abang ni sampai tangan Umi menggigil macam tu sekali? Tengok, tuala pun boleh jatuh. Kan dah kotor dah.”
“Perasanlah abang ni. Abang yang tiba-tiba rentap tangan itu. Umi terkejut lah. Tu yang tuala tu jatuh.” Umi Zafwa cuba menafikan walaupun hatinya mengesahkan dakwaan suaminya itu. Tapi, memang aku ada hak untuk menafikan. Aku menggigil bukannya sebab tengokkan dada bidangnya tu, tapi sebab renungan mata dia!
Umi Zafwa memandang ke arah lain. Mana-mana arah saja asalkan yang dipandangnya itu tidak wujud wajah Tengku Shariedan di situ. Sewaktu ketawa Tengku Shariedan berhenti, dia sengaja membongkokkan badannya untuk mengutip tuala tadi. Tak sanggup rasanya membiarkan mukanya direnung oleh Tengku Shariedan yang memang sengaja ingin membuat hatinya resah gelisah. Kali ini, dia berpura-pura pula mengelap mukanya dengan tuala tadi. Sengaja dia ingin menyembunyikan wajahnya daripada menjadi mangsa ‘cabul’ pandangan mata suaminya yang liar dan nakal itu.
Tiba-tiba, tuala yang menutup seluruh wajah Umi Zafwa itu direntap sebelum tubuhnya dipeluk kuat!
“Abangggg!! Apa ni… Kenapa peluk Umi? Kan dah basah badan abang tu. Umi baru aje lap tadi..” bebel Umi Zafwa dengan bibir yang memuncung.
Namun, bebelan dan rengekan suara itu tetap menyenangkan dan kedengaran begitu manja sekali di telinga Tengku Shariedan walaupun hakikatnya, Umi Zafwa sudah menarik wajah masam dengan perangai suaminya yang bermacam karenah itu.
“Apa salahnya kalau badan abang basah balik. Umi lap aje lah lagi sekali. Lepas tu, Umi boleh simpan tuala tu. Bila-bila kalau Umi rindukan abang, bolehlah Umi cium tuala tu sebab tuala tu dah melekat dengan bau badan abang…” usik Tengku Shariedan selamba, sebelum keluar meninggalkan Umi Zafwa yang sedang geram menahan marah seorang diri.
“Lagi satu sayang, tuala tu kan kotor sebab dah jatuh atas lantai tadi. Kalaupun Umi nak sorokkan muka Umi yang dah merah tu, tutup ajelah dengan dada abang ni.” Tengku Shariedan muncul semula sambil menghulurkan tuala baru pada isterinya itu. Kemudian, dia ketawa lagi.
“Umi ni, tengok dada abang pun Umi malu ya? Tapi, geramlah abang tengok muka Umi yang malu-malu masa lap dada abang tadi. Comel sangat! Malam nanti, abang nak tidur buka baju lah. Supaya bila Umi tidur kat atas dada abang, dapatlah abang tengok muka Umi yang malu-malu tu. Tadi tak dapat tengok puas-puaslah sebab orang tu tutup muka comel dia dengan tuala!”
Makin merah wajah Umi Zafwa dibuatnya. Lalu, dia cepat-cepat beristighfar di dalam hati supaya jantungnya yang berdebar-debar itu akan berhenti dengan segera. Disebabkan hatinya yang berdebar-debar itulah mukanya boleh jadi merah macam udang kena bakar.
‘Tak habis-habis nak kenakan orang!’ marahnya di dalam hati.
Tidak lama kemudian, kedengaran pintu bilik mereka dibuka. Setelah yakin yang Tengku Shariedan sudah pun keluar dari bilik, Umi Zafwa tersenyum seorang diri. Walaupun geram dengan kenakalan suaminya itu, sejujurnya, dia betul-betul terhibur dengan cara Tengku Shariedan membahagiakannya. Walaupun Tengku Shariedan memang sentiasa berlebih-lebih dan melampau-lampau, namun itulah suaminya... Suami yang terlalu dicintainya. Sebagai isteri, ‘tugas’nya adalah untuk menerima suaminya itu seadanya...





43










BEBERAPA BULAN KEMUDIAN…

            SEJAK Tengku Shariedan menyedari betapa banyaknya dosa dia terhadap Umi Zafwa, dan yang paling penting terhadap DIA Yang Maha Kuasa, banyak perkara yang telah berubah. Yang pasti, segala yang berubah itu adalah perubahan ke arah kebaikan. Paling ketara, perubahan terhadap diri Tengku Shariedan sendiri.
Daripada seorang lelaki yang bengis, pemarah, dan seorang yang tidak pernah mempedulikan perasaan orang lain, dia berubah menjadi seorang lelaki yang cukup penyayang dan juga penyabar. Juga murah dengan senyuman. Tidaklah seperti sebelum ini. Wajah yang sentiasa kelihatan garang itu walau tersenyum macam mana sekalipun, tetap akan kelihatan bengis.
            Berkat rumah tangga yang dibangunkan semula tiang serinya itu, rezeki Tengku Shariedan juga semakin melimpah-ruah. Segala yang menjadi miliknya, yang pernah hilang suatu ketika dulu, kembali semula kepadanya satu demi satu. Paling ajaib sekali ialah syarikatnya yang tidak lama dulu pernah diisytiharkan muflis di tangan Raisya. Kini, syarikat yang diwarisi oleh arwah ayahnya itu sudah menunjukkan tanda-tanda untuk bangkit semula. Bahkan, banglo milik Tengku Shariedan yang pernah ‘ditarik’ itu pun sudah berjaya didapatkan semula.
Hebat bukan cinta yang dipertaruhkan oleh Umi Zafwa buat suaminya? Dan tentulah lebih hebat kuasa Yang Maha Esa, kerana DIAlah yang mengkehendakkan semua itu terjadi…
           
            UMI Zafwa baru saja keluar dari bilik mandi. Tubuhnya masih lembab walaupun sudah dilap kering. Dia terus menuju ke almari untuk mencapai baju tidurnya. Biasanya dia hanya berkain batik dan berbaju t-shirt. Dia lebih selesa dalam keadaan begitu. Tapi sejak akhir-akhir ini, Tengku Shariedan banyak membelikannya pakaian baru. Lalu, demi menjaga hati suaminya, terpaksalah dia memakainya walaupun dia masih tidak selesa dengan pakaian yang terasa licin dan lembut pada tubuhnya itu. 
            Sewaktu dia mencapai sepasang baju tidur berkain satin yang berbunga ros putih itu, tanpa sebarang isyarat, tiba-tiba sahaja pinggangnya dirangkul dari belakang. Dia yang tidak sengaja, telah terlepas pakaian tersebut dari tangannya. Langsung jatuh ke atas lantai.
            Umi Zafwa beristighfar di dalam hati. Dia memang tidak menyangka Tengku Shariedan akan memeluknya kerana waktu-waktu begini selalunya suaminya itu masih khusyuk berdoa dan mengaji di atas tikar sejadah.
            “Abang ni.. Suka sangat buat Umi terkejut tau. Dah tak sayang Umi lagi lah tu…” rengeknya manja.
Adakalanya dia sendiri tidak suka dengan perwatakannya yang baru itu. Sejujurnya, dia langsung tak sedar sejak bila dia boleh berubah menjadi sebegitu manja. Bahkan, adakalanya dia seperti mengada-ngada, dan sentiasa kehausan dan dahagakan belaian daripada Tengku Shariedan. Peliknya, hanya dengan Tengku Shariedan sahaja dia bersikap demikian.
Sungguh... dia benci dengan dirinya yang baru itu. Tapi apa boleh buat. Dia tidak pernah pun meminta semua itu. Layanan Tengku Shariedan sendiri yang telah mengubahnya. Mana taknya, boleh dikatakan setiap saat Tengku Shariedan enggan berenggang dengannya. Setiap kali mereka duduk berdua-duaan, setiap kali itu jugalah Tengku Shariedan akan membelai dan memanjakannya. Itu belum dikira lagi bagaimana suaminya itu memanjakannya dengan kemewahan. Segala keperluannya dipenuhi. Yang bukan keperluannya pun, Tengku Shariedan akan memandai-mandai pergi beli! Sampaikan pakaian dalam pun, suaminya akan belikannya yang siap ada reben lah, yang ada renda lah... Ishhh.. Dia ingat aku suka agaknya! Aku ni kan simple dan bersederhana aje orangnya...
Seperti kali ini juga, walaupun dia berpura-pura tidak suka dengan cara Tengku Shariedan melayannya, dia langsung tidak menolak tangan suaminya yang sedang mengusap-usap pinggangnya waktu itu. Sebaliknya, dia yang semakin berani walau masih malu-malu, perlahan-lahan menyandarkan belakang kepalanya ke dada bidang suaminya sambil sebelah tangannya mengusap-usap pipi lelaki yang amat disayanginya itu.
 “Apalah sayang abang ni cakap macam tu pulak. Kalau abang tak sayangkan Umi, tak ada lah tiap kali solat abang doakan untuk sayang abang ni. Tadi pun abang ada doakan untuk Umi tau. Dan abang tak sangka yang doa abang cepat aje dimakbulkan. Abang bersyukur sangat,” luah Tengku Shariedan penuh teruja sambil mengeratkan lagi pelukannya. Sesekali, dia mengucup ubun-ubun isterinya itu dengan sebelah tangannya yang tidak lepas daripada membelai-belai rambut Umi Zafwa yang panjang dan beralun lurus itu.
 Umi Zafwa terus mendongakkan kepalanya dengan wajah hairan, sambil mencari-cari mata Tengku Shariedan. Takut juga kalau suaminya itu mahu mengenakannya seperti selalu.
“Doa abang dah termakbul? Apa yang abang doakan?” Berkerut-kerut dahinya.
“Betul Umi nak tahu apa yang abang doakan?” soal Tengku Shariedan dengan wajah serius.
Umi Zafwa terus mengangguk-anggukkan kepalanya dengan bersungguh-sungguh sekali.
Tengku Shariedan tersenyum nakal.
“Abang berdoa supaya Umi tak jual mahal lagi dah dengan abang. Dan sekarang, doa abang baru saja termakbul. Umi dah tak lari lagi bila abang peluk Umi macam ni,” bisik Tengku Shariedan. Kedengaran nakal tetapi cukup romantis usikan itu mengusap telinga Umi Zafwa. Sekali lagi dia mengucup ubun-ubun isterinya itu dengan sepenuh kasih sayang, sambil kedua-dua belah tangannya mengusap-usap lengan isterinya itu.
Merah padam wajah Umi Zafwa dibuatnya. Walaupun geram dengan usikan nakal Tengku Shariedan, tidak pula dia cuba untuk merenggangkan pelukan suaminya itu. Sebaliknya dia menarik lengan Tengku Shariedan yang melingkari pinggangnya waktu itu supaya pelukan suaminya itu lebih ketat dan erat. Sekaligus menjadikan tubuh mereka berdua lebih ‘mesra’ bersatu.
Baru saja Tengku Shariedan ingin ‘bertindak’ lebih jauh, tiba-tiba pintu bilik mereka dibuka seseorang dari luar. Rempuhan yang agak kuat sekaligus telah menyentakkan pasangan yang sedang hanyut dalam kemesraan yang mengasyikkan itu.
“Raisya…!!” Tanpa sedar, nama itu terbersin lembut dari lidah Tengku Shariedan yang ketara terkejut dengan kemunculan bekas kekasihnya itu.
“Mana you dapat kunci rumah ni?”
Raisya yang dalam keadaan berpeluk tubuh itu kelihatan tidak berminat untuk menjawab soalan Tengku Shariedan. Sebaliknya, dari muka pintu, dengan hati yang meluap-luap, matanya terus menjelajah meneroka susuk tubuh Umi Zafwa yang hanya berbalut tuala itu. Dia turut memerhatikan wajah wanita itu. Inilah pertama kali dia berpeluang menatap wajah itu. Rasa-rasanya, dia belum pernah bersua muka dengan wanita itu. Hurmmm... Boleh tahan jugak cantiknya! Cantik Melayu. Kecantikannya Nampak asli dan menyerlah walaupun tanpa solekan.
“Raisya, I minta baik-baik dari you. Tolong keluar dari bilik ni. Please…” pujuk Tengku Shariedan lembut. Dia terpaksa berbuat begitu kerana dari pandangan Raisya, dia sudah dapat mengagak muslihat gadis itu. Lagipun Raisya bukannya bolh disergah, bukannya boleh dimarah. Gadis itu memang kuat melenting!
“Selagi I tak tahu apa kelebihan perempuan kampung tu, selagi tu you jangan berharap untuk tengok I keluar dari bilik ni,” tegas Raisya sambil mengunyah gula-gula getah di dalam mulutnya. Sengaja dikunyah-kunyahnya dengan kuat bagi melepaskan rasa geram dan sakit hatinya.
Tengku Shariedan hanya mendiamkan diri itu. Kalau boleh, dia tak nak sakitkan hati Raisya. Dia tahu, Raisya akan meletup pada bila-bila masa sahaja. Lagipun, kalau diberitahu kelebihan isterinya itu, dia tahu yang Raisya takkan sanggup menunggu lama untuk mendengarnya memandangkan kelebihan Umi Zafwa terlalu banyak. Bahkan dia sendiri tidak terhitung!
 Terasa hendak pecah dada Raisya menahan kemarahan dengan kebisuan bekas kekasihnya itu. Dia benar-benar tercabar dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Tengku Shariedan, yang seolah-olah tidak sedar kewujudannya di situ! Dia malu. Malu apabila ‘kredibilitinya’ tercabar di hadapan Umi Zafwa. Sedangkan perempuan kampung di hadapannya itu sama sekali tidak layak untuk menjadi saingannya.
  Sikapnya yang pantang dicabar itulah yang membuatkan dia tanpa berfikir panjang, terus membuka satu demi satu butang baju kemeja ketat yang tersarung pada tubuh montoknya itu. Dengan gaya yang mengghairahkan, dia melempar pakaiannya dalamnya entah ke mana-mana sebelum dia meramas-ramas tubuhnya sendiri. Raisya memang dah gila!
Terbeliak Umi Zafwa melihatnya. Begitu juga dengan Tengku Shariedan. Bukan kerana terliur, tapi terkejut sebenarnya. Terkejut melihatkan keberanian gadis mentah itu. Apa sebenarnya yang Raisya ingin tunjukkan? Apa yang dia mahu buktikan sebenarnya?
“I tahu… you takkan berjaya lupakan badan I yang menggiurkan ni semata-mata kerana perempuan kampung yang you peluk tu, kan? Correct me if I’m wrong! Kalau you sendiri tak dapat nafikan apa yang I cakapkan ni, I sarankan you lepaskan pelukan you pada tubuh isteri you tu. Sebab I mampu bagi you kepuasasan yang berlipat-lipat kali ganda! Well, you know me, Tengku Shariedan...”
Raisya menjongket-jongketkan keningnya seperti mencabar keimanan Tengku Shariedan. Sesekali, dia sengaja meliuk-lentokkan tubuh montoknya itu. Baginya, itu sudah cukup untuk menggelegakkan nafsu berahi kekasih yang sudah lama ditinggalkannya itu. Pada masa yang sama juga, dia ingin tunjukkan pada Umi Zafwa, betapa kerdilnya perempuan kampung itu jika hendak dibandingkan dengan dirinya!
Tengku Shariedan cepat-cepat memalingkan pandangannya dari Raisya, seolah-olah dengan memandang gadis yang bertelanjang itu akan membutakan matanya pada bila-bila masa sahaja.
Tubuhnya dipusingkan. Lalu dia memejamkan matanya rapat-rapat. Berkali-kali dia beristighfar di dalam hati, sambil mengeratkan lagi pelukannya pada tubuh Umi Zafwa yang sedang menyembunyikan esakannya itu. Diusap-usap belakang badan Umi Zafwa dengan lembut, bagi meredakan perasaan isterinya yang sudah tentu sedang bergelora saat ini.
Tengku Shariedan mahu Umi Zafwa tahu yang dia benar-benar menyesal atas perbuatannya selama ini. Dan dia juga mahu Umi Zafwa tahu, datanglah walau sejuta bidadari sekalipun, dia tetap takkan berpaling daripada kasih seorang isteri yang terlalu agung tercipta buat dirinya, iaitu satu-satunya isterinya, Umi Zafwa, Umi Zafwa, Umi Zafwa dan Umi Zafwa! Takkan ada orang lain. Takkan ada perempuan lain, selain isterinya!
“Syhhhhh…jangan menangis sayang. Jangan menangis. Abang takkan tinggalkan seseorang yang lebih baik daripada bidadari semata-mata kerana seorang perempuan yang tak ada apa-apa kelebihan. Abang akan jaga Umi. Abang akan lindungi Umi sampai ke akhir hayat abang. Abang janji, Umi. Abang janji. Umi jangan ragui keikhlasan abang ya, sayang. Umi Isteri yang baik, kan. Jadi, tolonglah jangan berprasangka pada suamimu ini, sayang… Sebaliknya Umi percayalah, yang abang benar-benar sayangkan Umi,” ucap Tengku Shariedan bersungguh-sungguh walaupun dia cuma berbisik lembut di telinga isteri kesayangannya itu. Air mata jantan yang tumpah itu sudah cukup untuk menyatakan kesungguhannya.
Raisya yang kecewa melihatkan keadaan itu hanya mampu mengetap giginya kuat-kuat sebelum dia berlalu meninggalkan bilik itu dengan perasaan malu yang terasa menoreh seluruh kulit mukanya.

           
























44











            SETELAH berbulan-bulan mereka kembali mengharungi kehidupan berumah tangga dalam erti kata yang sebenarnya, Tengku Shariedan akhirnya memutuskan untuk berpindah semula ke banglo kepunyaannya. Baginya, di situlah terletaknya mahligai sebenar perkahwinannya dengan Umi Zafwa. Dia nekad ingin menghiaskan banglo mewahnya itu dengan cinta mereka berdua, biar walau bila dia sudah tiada nanti, Umi Zafwa akan terus menghidu haruman cintanya.
            Umi Zafwa pada awalnya kelihatan seperti teragak-agak. Bahkan sehingga ke hari ini pun, hatinya masih menolak. Namun melihatkan kesungguhan Tengku Shariedan, dia terpaksa bersetuju. Tak tergamak rasanya untuk menghampakan impian suaminya itu.
            Jadi, lewat tengah hari itu, mereka pun bergerak ke sana. Tengku Shariedan sendiri yang memandu BMW 5 series kepunyaannya. Tidak sampai 10 minit, mereka pun sampai.
            Sewaktu Tengku Shariedan melangkah ingin membukakan pintu kereta di sebelah isterinya, dia dikejutkan dengan salakan anjing. Dia memang sudah terbiasa dengan bunyi salakan itu walaupun tidak ada bezanya dengan anjing-anjing lain. Tapi dia tetap dapat mengecamnya.
Anjing kesayangannya, Kevin!
            Tengku Shariedan terus berlari-lari anak untuk mendapatkan Kevin yang juga sedang berlari-lari menerpa ke arahnya. Nampaknya walau sudah berbulan-bulan mereka berpisah, Kevin juga masih dapat mengenali dan mengecam tuannya.
            Dengan air mata yang tumpah tanpa dia sedari, Tengku Shariedan terus menyambut tubuh Kevin yang meloncat kemas ke dadanya. Terlerai juga rasa rindunya setelah dapat memeluk tubuh anjing kesayangannya yang berbulu tebal itu, sambil mengusap-usapnya lagak seorang ayah yang sedang mendodoi dan menenangkan bayi kecilnya daripada menangis. Beberapa kali juga dia melaga-lagakan mukanya sendiri dengan kepala anjing itu. Kevin yang terasa dibelai dan dimanjakan, terkelip-kelip dan terpejam matanya.
            “Where did you stay since I was not around here? Hurmm..?” Tengku Shariedan menguis-nguis bawah dagu Kevin, seolah-olah Kevin mampu menjawab soalan yang diajukannya itu.
            Terfikir juga dia. Selama dia tak ada, siapa pula yang memberi Kevin makan? Tapi dia dapat merasakan, tentu Bonda Samrah, bekas pembantu rumahnya itu yang memberikan anjing kesayangannya itu makan. Bonda Samrah memang sedia maklum betapa sayangnya dia pada anjing peliharaannya itu.
            Sewaktu Kevin melentokkan kepala ke dadanya, barulah Tengku Shariedan teringatkan sesuatu. Dia teringat kesukaan Umi Zafwa! Umi Zafwa yang suka berbaring di atas dadanya kerana di situlah ‘tempat’ kegemaran isterinya itu.
Tengku Shariedan menepuk dahinya sambil beristighfar di dalam hati.
‘Masya-ALLAH, apasal lah aku boleh terlupa? Ya ALLAH, teruknya aku ni! Suami jenis apa aku ni? Kenapalah aku masih membelakangkan dia dalam segala hal? Itupun mujurlah Kevin lentokkan kepala dia kat dada aku. Kalau tak, sampai sudah agaknya aku terlupakan isteri aku tu!’
            Tengku Shariedan terus memusingkan tubuhnya. Saat itu juga dia terpandangkan Umi Zafwa yang agak jauh berdiri daripadanya sambil memeluk tubuh. Sangkanya tadi, isterinya itu masih berada di dalam kereta.
Di dalam hati, Tengku Shariedan mengutuk-ngutuk, menyumpah seranah dirinya sendiri. Hanya semata-mata kerana rindunya pada Kevin, dia telah mengabaikan seseorang yang paling bermakna dalam hidupnya. Tergamaknya dia… Agaknya, sampai bila-bila pun dia takkan mampu menjadi seorang suami yang baik buat isterinya itu.
            Dengan perasaan bersalah, Tengku Shariedan berlari-lari anak mendapatkan Umi Zafwa yang sedang memandangnya dengan senyuman mesra yang tak lekang di bibirnya. Tanpa menghiraukan senyuman yang sentiasa menggetarkan jiwanya itu, dia terus memeluk tubuh kecil itu seolah-olah sudah bertahun dia tidak berjumpa dengan isterinya itu.
Terpinga-pinga Umi Zafwa dibuatnya dengan kelakuan aneh Tengku Shariedan itu. Apatah lagi bila melihatkan raut wajah suaminya yang seperti hendak termenangis itu.
            “Kenapalah abang ni tak pernah nak berubah. Kenapalah abang dahulukan Kevin hanya kerana abang rindukan anjing abang tu. Sampaikan abang boleh terlupa untuk bukakan pintu kereta untuk Umi… Abang minta maaf, sayang. Abang minta maaf. Tolonglah maafkan abang. Abang tahu abang dah mungkiri janji abang untuk tidak sakitkan hati Umi. Tapi tadi tu, abang tak sengaja. Jadi, abang harap sangat-sangat yang Umi takkan sekali pun pertikaikan kasih sayang abang pada Umi. Percayalah sayang, abang sanggup kehilangan apa saja di dunia ni demi kebahagiaan Umi... Cuma tadi, abang terlupa...”
Tumpah jua air mata Tengku Shariedan akhirnya. Namun, dalam sebak dan perasaan yang sudah tidak terkawal, Tengku Shariedan tetap mengeratkan lagi pelukannya walaupun memeluk Umi Zafwa tidak ubah seperti memeluk sebuah patung yang keras lagi kaku. Umi Zafwa seperti memprotes dalam diam!
Umi Zafwa menghempaskan sebuah keluhan yang dia sendiri tidak mampu untuk mentafsirkannya. Lantas, dibiarkan saja Tengku Shariedan menangis sepuas-puasnya. Tidak lama kemudian, barulah dia perlahan-lahan melentokkan kepalanya ke dada bidang suaminya itu.
‘Abang, Umi tak pernah ragui kasih sayang abang. Sebaliknya, rasa cinta Umi pada abang semakin melimpah-ruah dari hari ke hari. Sebab dari hari pertama kita bergelar suami isteri pun, Umi tak pernah harapkan apa-apa daripada abang. Umi yakin yang abang takkan mampu bahagiakan Umi walau sampai ke hujung nyawa Umi sekalipun. Tapi hari ini, Umi silap, bang. Umi silap. Abang sebenarnya bukan saja telah bahagiakan Umi, tapi abang dah beri kekuatan pada Umi untuk terus bernafas di muka bumi ini dengan satu perasaan yang Umi sendiri tak dapat gambarkan betapa tenang dan damainya, bang. Perasaan itulah yang membuatkan Umi sedikit pun tidak berkecil hati bila abang dahulukan Kevin daripada diri Umi sendiri.
Kalau dulu Umi boleh terima sewaktu abang layan Umi lebih teruk daripada seekor anjing kurap, kenapa tidak hari ini? Abang melayan Umi sama seperti abang melayan Kevin pun sudah lebih daripada cukup bang. Kerana sekurang-kurangnya Umi tahu, masih ada rasa sayang dalam hati abang buat Umi. Walaupun perasaan sayang itu mungkin umpama kasih sayang dari seorang tuan kepada anjing kesayangannya. Tapi, Umi langsung tak kisah, bang. Bahkan, Umi akan menerimanya dengan hati yang penuh dengan rasa syukur, tanpa sedikit pun dendam pada abang…’
Umi Zafwa menangis teresak-esak dengan luahan hatinya sendiri. Sejujurnya, setelah apa yang pernah dilaluinya dengan suaminya selama ini, apa yang boleh dia putuskan buat masa ini, dia sebenarnya masih meragui kasih sayang Tengku Shariedan terhadapnya. Mungkin kerana dia masih trauma atas segala musibah yang pernah merembatnya.
Entahlah… dia tidak mahu terlalu memikirkan semua itu. Cukuplah baginya dapat melihat suaminya itu berubah menjadi seorang yang jauh lebih baik daripada dirinya yang jahil tidak lama dulu. Itu sudah menjadi hadiah yang paling bermakna buat dirinya, dan tentu juga buat arwah ayah Tengku Shariedan sendiri, Tengku Hatta… Semoga roh arwah mentuanya itu tenang setelah mendapat ‘berita’ tentang anak kesayangannya ini.




SEWAKTU Tengku Shariedan mengajaknya masuk ke dalam banglonya, Umi Zafwa sengaja melambat-lambatkan pergerakannya.
Melangkah sahaja ke dalam rumah, dia terus masuk ke dalam salah sebuah bilik di tingkat bawah walaupun dari cara Tengku Shariedan memaut pinggangnya, dia dapat mengagak yang suaminya itu ingin membawanya naik ke bilik atas.
Tengku Shariedan yang seperti faham dengan keengganan Umi Zafwa itu terus menghempaskan tubuhnya ke atas katil dengan berbantalkan kedua belah tangannya sendiri. Dia faham, isterinya itu masih trauma. Jadi, biarlah Umi Zafwa membiasakan dirinya dengan keadaan dan suasana di dalam banglo ini terlebih dahulu.
Dari atas katil, Tengku Shariedan leka memerhati setiap gerak-geri Umi Zafwa. Isterinya itu kelihatan resah semacam. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Habis tunggang langang dipunggahnya meja seterika dari balik almari pakaian sebelum dibuka dan ditegakkannya.
Errr..urmm.. Umi nak ambil beg baju abang kat luar jap!” Umi Zafwa meminta izin dengan suara yang gugup.
Dia yang perasan renungan mata Tengku Shariedan yang melekat pada tubuhnya, mula berasa gelisah. Lantas, dia gesa-gesa bergegas keluar dari bilik tersebut. Sejujurnya, dia masih berasa tidak selesa berada di dalam banglo itu. Dan renungan Tengku Shariedan itu benar-benar menakutkannya. Dia seperti merasakan yang suaminya itu bila-bila masa sahaja akan menerkamnya dari belakang.
Dia tahu, dia telah menzalimi suaminya sendiri dengan memasang prasangka dan rasa syak wasangka yang melampau-lampau terhadap suaminya itu. Namun, apa boleh buat. ‘Sifat’ trauma itu meresap ke dalam dirinya secara semula jadi dan dia sendiri tidak berdaya untuk menolak rasa yang tidak enak itu. Dia seperti dipaksa untuk menerimanya. Sampai bila ‘benda’ itu perlu bergayut dan menghantui dirinya, dia sendiri tidak ada jawapannya…


UMI Zafwa yang sengaja menyembunyikan diri di sudut kolam air terjun di tepi halaman banglo mewah itu tersentak sebaik terdengarkan suara garau yang menjerit dan meraung-raung dengan begitu kuat sekali. Membingitkan! Bahkan, raungan yang bergema itu terasa bergaung di telinganya.
Lantas, Umi Zafwa bingkas bangun dari kerusi batu yang berbentuk cendawan itu. Tergesa-gesa dia berlari untuk masuk semula ke dalam bilik yang ditinggalkannya tadi. Beberapa kali juga kakinya tersadung apabila dia terpaksa berlari dengan baju kurungnya yang labuh itu.
Sebaik sahaja daun pintu ditolak dengan kuat dari luar, Umi Zafwa terjerit-jerit apabila tanpa sempat untuk dielak lagi, matanya terpandangkan darah yang menitis membuak-buak keluar dari lengan Tengku Shariedan. Berkerut-kerut mukanya menahan rasa ngeri dan ngilu pada waktu yang sama. Dia memang ‘alah’ melihat darah. Apatah lagi darah yang menitis itu daripada lengan suaminya sendiri yang sudah tersiat kulitnya hingga menampakkan daging yang pekat kemerah-merahan.
 Tanpa berlengah lagi, dengan mata yang terpejam-pejam dan dahi yang masih berkerut, Umi Zafwa segera menyelongkar beg pakaiannya. Ditariknya sehelain kain batik dari situ dan cepat-cepat dia membalut lengan Tengku Shariedan yang sudah terkoyak dan terburai kulitnya itu.
“Dah! Jom kita ke klinik sekarang juga!” Umi Zafwa bingkas bangun untuk memapah suaminya itu.
Dipautnya bahu Tengku Shariedan, bersedia untuk memapahnya tapi sebaliknya Tengku Shariedan terus menarik pinggangnya sehingga menyebabkan dia jatuh terduduk ke atas riba suaminya itu.
Dalam keadaan cemas macam ni pun masih nak buat perangai buruk dia tu!
“Abang ni, dah jadi macam ni pun masih nak main-main lagi. Cepatlah bangun. Kita pergi klinik. Nanti karang makin teruk pula tangan tu!” Dengan lembut, Umi Zafwa cuba melepaskan dirinya dengan sedaya upaya cuba menolak tubuh Tengku Shariedan yang berbidang luas dan tinggi lampai itu.
Tengku Shariedan tersengih melihat wajah isterinya yang kelihatan begitu cemas dan kalut itu. Terasa lenyap terus kesakitan yang menyiat-nyiat kulit lengannya. Tadi pun, dia tidaklah berasa sakit sangat. Dia sengaja menjerit dengan kuat semata-mata ingin menarik perhatian Umi Zafwa. Tentu seronok kalau dapat bermanja dengan isterinya itu sehinggalah sembuh kulit lengannya yang sudah melecet dan melecur itu. Makan masa juga mahu sembuh. Nampaknya makin lamalah dia dapat bermanja dengan Umi Zafwa. Ceh! Sampai ke situ sekali dia melalut.
“Buat apa abang nak sibuk-sibuk pergi ke klinik tu pula? Abang kan dah ada Umi. Dan Umi kan penawar untuk abang. Hanya Umi aje yang dapat sembuhkan abang. Bukannya doktor, bukan juga jururawat dan bukan sesiapa sekalipun!” tegas Tengku Shariedan.
Dia memang tidak biasa mendapatkan rawatan di klinik. Baginya, sikit sangat sakitnya itu. Dia pernah dapat lebih teruk daripada itu sewaktu bergelumang dengan gejala dadah dan pelacuran yang turut menyebabkan dia terkena tempias dari puak-puak gangster.
“Abang ni kan, tak habis-habis nak ikut keras kepala dia aje. Cakap Umi ni langsung tak pernah nak dengar. Suruh pergi klinik tak nak. Lagi satu, kan Umi dah cakap, kalau abang nak buang tattoo kat lengan abang tu, cubalah jangan gunakan cara yang membahayakan macam tu. Seterika tu panas tahu tak. Sekarang kan dah ada teknologi yang canggih, dah ada rawatan laser yang tak menyakitkan untuk buang tattoo semua tu.” Umi Zafwa yang sudah mula naik angin. Seingatnya, ini bukanlah pertama kali dia mengingatkan suaminya itu dengan nasihat yang sama. Bahkan sudah berkali-kali. Tapi Tengku Shariedan tetap berdegil! Sebelum ini, beberapa kali juga hajat suaminya untuk membuang tattoo pada lengannya tidak terlaksana memandangkan dia sendiri yang melarangnya. Dia tidak mahu suami kesayangannya itu menanggung sakit. Sebolehnya, biarlah tattoo itu dibuang dengan menggunakan laser saja!
“Umi tu sebenarnya yang degil. Kan abang dah cakap yang abang takkan gunakan rawatan laser tu semua. Biarlah abang terpaksa menahan sakit sekalipun, abang sanggup! Pandai buat, pandailah abang tanggung kan? Lagipun, abang buat semua ni pun sebab abang nak ajar diri abang sendiri, abang nak sedarkan diri abang yang selama ni dah banyak melawan hukum ALLAH. Tu pun salah ke?”
Umi Zafwa yang ingin menyambung leterannya, terus terdiam. Takut-takut dia memandang wajah Tengku Shariedan yang sudah berubah tegang itu.
Hakikatnya, Tengku Shariedan berpura-pura marah saja tu!
Serba-salah pula Umi Zafwa dibuatnya. Bimbang juga kalau-kalau Tengku Shariedan tersinggung dengan kata-katanya tadi. Apatah lagi bila suaminya itu sudah mengalihkan pandangannya ke arah lain. Makin serba salah dia dibuatnya.
Lantas, dia segera menghampiri Tengku Shariedan sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah suaminya itu.
“Alah… Takkanlah Umi cakap macam tu pun abang nak merajuk. Umi faham niat abang tu. Tapi, percayalah bang… Walau sejahat mana sekalipun diri kita ni, ALLAH tak pernah menyuruh hambaNYA menzalimi dirinya sendiri semata-mata untuk menebus kesilapan lampau. Allah cuma minta kita bertaubat dengan meninggalkan segala laranganNYA. DIA tak pernah menyuruh kita menebusnya dengan cara menganiaya diri kita sendiri melainkan kalau dah tak ada pilihan lain. Itu semua sudah cukup untuk membuktikan bahawa sesungguhnya, DIA Maha Penyayang lagi Maha Mengampuni hamba-hambaNYA.
Umi bukannya apa, Umi sebenarnya risau tengok tangan abang tu. Mesti sakit kan? Lepas ni…”
 “Sudahlah! Tak payah nak cakap banyak lagi! Tak payah nak berpura-pura lagi lah, Umi. Abang tahu, Umi bukannya risau sangat kan kalau abang sakit sekalipun?” Tengku Shariedan sudah bangun. Sekelip mata wajahnya berubah garang.
Umi Zafwa terkedu, seram sejuk tubuhnya. Sampaikan tak tertelan air liurnya sendiri.
‘Abang ni kenapa? Tolong jangan buat Umi macam ni, bang. Maafkan Umi... Maafkan Umi kalau Umi dah sakitkan hati abang. Umi betul-betul tak bermaksud, bang. Umi ikhlas nasihatkan abang. Takkanlah itu pun abang nak melenting? Tolong, bang. Tolong jangan marah-marah Umi macam ni. Umi tak suka...’ rayu Umi Zafwa, lebih kepada berdoa di dalam hatinya sendiri.
Umi Zafwa turut bangun. Tangannya cuba mengusap bahu suaminya itu. Malang sekali, Tengku Shariedan mengecilkan hatinya dengan menepis tangannya itu. Kecewa sungguh Umi Zafwa saat itu.
“Sampai hati abang tuduh Umi bukan-bukan. Hanya tuhan saja yang tahu tau betapa risaunya Umi bila abang ambil tindakan sampai macam tu sekali. Bahaya tau, tak? Abang tak kasihan ke kat Umi kalau apa-apa jadi pada abang?” Saat ini, mata Umi Zafwa sudah bergenang-genang.
Tengku Shariedan tersenyum di dalam hati. Tak sampai hati pula mahu mengenakan isterinya itu lebih-lebih. Sudahlah Umi Zafwa makin sensitif sejak akhir-akhir ni. Mudah saja air matanya keluar.
“Jangan nak tipulah! Abang bukannya tak tahu yang Umi tu sebenarnya bukannya risau sangat tengok abang sakit-sakit macam ni.”
 “Umi cuma risau kalau lengan abang ni dah tak boleh nak peluk pinggang Umi lagi kan lepas ni? Hurmm… Tak lena lah tidur orang tu lepas ni agaknya ya…” sindir Tengku Shariedan.
Umi Zafwa terlopong melihat Tengku Shariedan yang tiba-tiba saja tersenyum tidak lama selepas itu. Dari tadi lagi dia dah syak sebenarnya. Suaminya memang tak pernah serik dalam bab-bab nak mengenakannya!
“Maafkan abang sayang. Abang berlakon aje tadi. Seronoklah kalau dapat kenakan Umi macam ni selalu.” Dengan riak wajah tidak bersalah, Tengku Shariedan dengan selambanya kembali melabuhkan punggungnya di birai katil. Sengaja dia buat-buat tidak nampak mata isterinya yang terjegil-jegil menahan kemarahan itu. Bila dia perasan yang Umi Zafwa ingin membuka mulut meleterinya, cepat-cepat dia menekup mulut itu.
Meronta-ronta Umi Zafwa cuba melepaskan diri. Kali ni, jangan haraplah Tengku Shariedan akan terlepas. Kalau boleh, dia nak buat satu sesi kaunseling tiga bulan berturut-turut! Biar berubah sikit perangai nakal suaminya yang tak habis-habis nak kenakan orang tu!
 “Sudahlah tu, sayang. Abang tahu abang salah. Tapi malaslah nak dengar sayang membebel. Umi tu kalau dapat membebel tak ingat dunia! Lebih baik Umi tutup aje mulut tu dan bersyukur aje.”
“Abang suruh Umi bersyukur? Bersyukur untuk apa? Bersyukur sebab dapat suami yang nakal macam abang ni?” sindirnya.
“Abang bukan nakallah, sayang. Abang cuma nak tunjukkan bakat lakonan abang aje supaya Umi tu bersyukur dapat suami yang bukan saja handsome mengalahkan Brad Pitt, tapi suami Umi ni juga sebenarnya ada bakat lakonan yang mengalahkan Tom Cruise tau!”
Tengku Shariedan sengaja menyelak rambut yang agak panjang menutup separuh mukanya itu. Lalu terserlahlah dengan jelas raut wajah tampannya bersama mata yang terkenyit sebelah itu.
Umi Zafwa mencebikkan bibirnya. Nak goda orang konon. Tak payah buat macam tu pun, Umi memang dah lama lah tergoda dengan muka abang yang handsome tu tau! puji Umi Zafwa di dalam hati, tanpa dia sendiri menyedarinya.  
“Kulit abang tu bukannya cerah macam Brad Pitt pun. Jadi, tak payahlah berangan nak jadi mat saleh pula ya!” Umi Zafwa mengejek. Sekaligus membuatkan Tengku Shariedan terlepas ketawanya.
Melihat suaminya sedang tersengih dengan kepala yang tertunduk sedikit, sengaja dia mengambil kesempatan tersebut untuk mencuri-curi pandang wajah tampan itu. Dia sendiri tidak dapat memastikan jenis ‘darah’ yang mengalir di dalam tubuh suaminya itu. Padanya, warna kulit Tengku Shariedan tidaklah gelap, bahkan tidak juga cerah. Namun, wajah suaminya itu tidak pula ‘mengatakan’ yang dirinya adalah Melayu. Dengan jambang nipis dan tubuhnya yang seksi dengan bulu-bulu halus yang didakwa Raisya sebagai ‘tarikan utama’ mengapa dia terlalu ‘bernafsukan’ lelaki itu, bagi pandangan Umi pula, Tengku Shariedan lebih kelihatan seperti lelaki Pakistan. Tapi… macam orang Italy pun ada juga!
Ahhh.. Tak kisahlah mana-mana pun! Yang penting hatinya tenang setiap kali memandang wajah suaminya itu. Bukan kerana ketampanannya, tapi kerana wajah itu adalah wajah kesayangannya…



UMI ZAFWA kelihatan takut-takut sewaktu tangannya diraih Tengku Shariedan untuk masuk ke ruang bilik tidur utama yang telah banyak menyaksikan kenangan pahit yang pernah bergolak dalam hidupnya. Di dalam bilik itulah dia pernah didera dengan begitu teruk sekali di awal perkahwinannya dengan Tengku Shariedan. Balkoni bilik itu sendiri menjadi saksi. Juga saksi kepada kandungannya yang hampir gugur sewaktu dia cuba melarikan dirinya daripada berterusan menjadi mangsa dera kepada suaminya itu. Selain itu, bilik itu juga menyaksikan Tengku Shariedan yang sudah beberapa kali terlanjur dengan Raisya, bekas kekasihnya. Tidak keterlaluan jika dikatakan bilik itu merupakan antara bilik yang menyimpan sejarah kes jenayah dan maksiat yang paling mengerikan di dunia ini!
Kini, sekali lagi Umi Zafwa ditarik untuk masuk semula ke dalam bilik yang telah merodok jiwanya dengan rasa trauma yang teramat mengilukan itu. Walaupun hatinya belum cukup kuat untuk kembali semula ke dalam mahligai itu, namun kakinya dipaksa juga untuk melangkah walau dengan hati yang seribu gundah dan debar. Tidak tergamak rasanya untuk menghampakan perasaan Tengku Shariedan yang kelihatan begitu teruja sekali waktu itu. Sudah tentu suaminya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghiasi kamar mereka dengan asmara yang terbit daripada bebunga yang baru sahaja ingin memekar kembangnya.
Hakikatnya, Tengku Shariedan sendiri perasan akan ketakutan dan trauma yang melanda isterinya itu walaupun Umi Zafwa sedaya upaya cuba untuk menyembunyikannya. Sehinggalah siang berganti malam pun, Umi Zafwa masih kelihatan takut-takut. Risau sungguh Tengku Shariedan melihatnya. Sampaikan bila Umi Zafwa sudah nyenyak tertidur pun, dia masih berjaga hanya kerana risaukan keadaan isterinya itu.
‘Maafkan abang, sayang. Abang buat semua ni sebab abang nak tahu kalau abang dah berjaya menjadi suami yang sempurna di mata. Terbuktilah yang Umi masih trauma dan takut-takut lagi dengan apa yang dah terjadi. Nampaknya, abang kena berusaha keras lagi untuk hilangkan ketakutan Umi. Abang mesti berusaha untuk pastikan Umi berjaya sepenuhnya untuk melupakan segala dosa dan kekejaman yang pernah abang lakukan terhadap Umi. Abang akan pastikan, Umi! Sebab itu saja caranya untuk abang tebus dosa abang terhadap Umi...’ Tengku Shariedan mengucup dahi isterinya sehingga basah, tidak dilepaskan.
Sehinggalah waktu melepasi lewat tengah malam pun Tengku Shariedan masih berjaga. Waktu itu, entah mengapa Kevin yang diletakkan di balkoni di hujung bilik tersebut tiba-tiba menyalak dengan begitu kuat sekali. Menyebabkan Umi Zafwa meracau-racau dan sesekali isterinya itu kelihatan seperti menendang-nendang. Mulutnya terkumat-kamit seperti cuba meluahkan sesuatu. Malangnya, tidak terluah. Hanya peluh-peluh sahaja yang keluar membasahkan tubuhnya. Riak wajah Umi Zafwa pula kelihatan resah semacam, seperti takutkan sesuatu!
Tengku Shariedan tahu. Umi Zafwa masih belum mampu membiasakan dirinya dengan keadaan bilik tersebut, juga masih tidak dapat membiasakan dirinya dengan anjing yang bernama Kevin itu. Dia sendiri tidak pernah lupa bagaimana satu ketika dulu Umi Zafwa pernah didera dan diperlakukan dengan begitu kejam sekali. Bahkan, di dalam balkoni itu isterinya bukan saja pernah didera, malah waktu itu dia turut dikurung di dalam balkoni bersama Blacky, anjing kesayangan Tengku Shariedan yang berbulu hitam nipis itu.
Dengan pandangan yang mula berkaca-kaca, dia merangkul tubuh Umi Zafwa yang masih meracau-racau itu dengan seerat yang mungkin. Walaupun pada waktu itu lengan kanannya yang melecet teruk itu masih belum sembuh, dia tetap berkeras ingin memeluk tubuh isterinya itu. Sehinggakan bila tidak tertanggung kepedihan itu, dia lebih rela menggigit bibirnya sendiri sehingga pecah dan berdarah, asalkan dengan cara itu dapat mengurangkan keperitan yang terasa menyiat-nyiat lengan bekas tattonya itu.          Bahkan, kesakitan yang ditanggunginya itu terasa menjalar sehingga ke seluruh tubuhnya. Namun, dia tetap bertahan. Dia tetap tidak mahu melepaskan pelukan pada pinggang isterinya itu. Dia mahu Umi Zafwa tidur dengan selesa. Dia mahu isterinya itu tenang dalam dakapannya walau dia terpaksa menyeksa dirinya sendiri.
Bergenang mata Tengku Shariedan akibat gagal menahan kesakitan sewaktu tubuh Umi Zafwa bergerak-gerak di dalam pelukannya, sekaligus menyebabkan lengannya yang menampakkan daging itu tertindih dengan kuat oleh tubuh isterinya itu. Dia hampir terjerit namun cepat-cepat dia mengatup mulutnya rapat-rapat. Dia tidak mahu mengeluarkan sebarang suara waima dengusan nafasnya sekalipun. Dia mahu Umi Zafwa berehat dengan setenang-tenangnya. Dia mahu isterinya itu mengusir trauma yang pernah dilaluinya di dalam bilik yang pernah menjadi neraka buat Umi Zafwa! Biarlah dia yang terpaksa menanggung kesakitan itu, asalkan selepas ini Umi Zafwa tidak perlu takut lagi untuk menetap di singgahsana yang dia ciptakan khusus buat isterinya yang tercinta itu.
Tengku Shariedan tidak pernah terlelap walau sesaat pun. Dia kelihatan begitu segar sekali walaupun jarum jam pendek sudah beralih ke nombor empat. Matanya masih terbuka luas dan tidak pernah lepas daripada memandang isterinya dengan pandangan yang berjaga-jaga dan cukup teliti. Walaupun pandangan matanya itu tidak pernah kering daripada air mata kesakitan memandangkan sudah berjam-jam lamanya dia tidak melepaskan pelukannya pada tubuh Umi Zafwa.
Begitu sekali dia menjaga isterinya sampaikan tidak ada satu nyamuk pun yang berani untuk hinggap ke tubuh isterinya itu. Malah, sewaktu Umi Zafwa bergerak sedikit pun, dia sudah risau dan cemas. Tidak putus-putus dibisikkannya doa-doa penenang hati ke telinga isterinya itu, bersilih ganti dengan pengakuan cinta dan sayangnya yang bersadur dengan rayuan kemaafan, yang selama ini tidak pernah lekang daripada meniti di bibirnya. Berkali-kali juga dia mengucup-ngucup ubun-ubun Umi Zafwa sambil menggosok-gosok belakang badan isterinya itu.
‘Ya ALLAH, adakalanya aku terfikir. Bagaimanalah seorang manusia yang terlalu jahil seperti aku ni boleh mendapat peluang untuk hidup di bumiMU ini ya ALLAH?’ getusnya di dalam hati.
Sesaat kemudian, barulah dia tersedar yang dia sudah jauh tersasar. Lantas, lekas-lekas dia beristighfar.
‘Astaghfirullah… Ampunkan aku, ya ALLAH. Ampunkan aku… Tidak terlintas di fikiran aku untuk mempertikaikan semua itu. Aku cuma tak mampu untuk terima hakikat betapa zalim dan kejamnya diri aku selama ini. Namun, aku tetap bersyukur, ya ALLAH. Bersyukur di atas segala nikmat dan peluang yang telah ENGKAU berikan. Aku bersyukur kerana telah ‘dipilih’ untuk menjadi salah seorang hamba yang dihidupkan di muka bumi ini. Dan aku bermohon padaMU ya ALLAH, KAU jadikanlah aku seorang lelaki, dan juga seorang suami yang turut bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk membahagiakan sebaik-baik isteri bernama Umi Zafwa…’ doanya di dalam hati.
“Sayang, abang janji sayang. Abang akan bahagiakan Umi. Kalaulah esok adalah hari terakhir untuk abang mencintai Umi, abang akan pastikan kasih sayang abang akan kekal dan terus bahagiakan Umi buat selama-lamanya. Abang janji, sayang. Abang janji…” bisiknya rapat ke telinga isteri tercinta. Sebelum dia perlahan-lahan merebahkan mukanya ke dada Umi Zafwa. Rangkulannya dieratkan, seolah-olah tidak akan dilepaskan sampai bila-bila. Yang terlepas, hanyalah air matanya yang masih merembesan penuh kesalan. Penyesalan tentang kenangan yang telah jauh berjalan… 




p/s: untuk sambungan TAKDIR TAK DIPINTA, boleh terus ke laman Facebook saya. Terima Kasih ^_^